Rezeki juara Mr Planet

Tidak pernah terlintas akan menceburi dunia lakonan, namun itulah rezeki juara pertandingan Mr Planet, Ameerul Asyraf Mohammad.

Lulusan Teknologi Maklumat (IT) ini berkata sukar mendapatkan pekerjaan dan sokongan rakan mendorongnya untuk mencuba nasib dalam bidang seni.

Mula membabitkan diri dalam dunia peragaan sejak di universiti, Ameerul tidak kisah jika perlu bermula daripada bawah sebagai pelakon tambahan.

“Ketika di universiti saya sekadar suka-suka menyertai bidang peragaan dan fokus lebih kepada pengajian.

“Tidak sangka selepas menyertai pelbagai pertandingan peragaan laluan saya dalam bidang ini dipermudahkan.

“Boleh dikatakan semua pertandingan saya sertai berada di tangga ketiga teratas,” katanya.

Selain peragaan, Ameerul turut berjinak-jinak dalam bidang lakonan. Walaupun sukar, dia tidak kisah.

Malah baginya, sekarang masa terbaik untuk lebih menonjolkan diri selain berkenalan dengan ramai orang.

“Sebagai orang baru saya perlu pandai bawa diri dan bergaul dengan semua orang. Tak rugi kita beramah mesra dan menambah kenalan.

“Saya juga perlu bermula daripada bawah dan tidak kisah walau diberi watak kecil,” katanya.

Selepas tamat pertandingan Mr Planet pada April lalu, banyak juga tawaran berlakon diterima Ameerul.

“Saya sedar perlu banyak belajar jika mahu pergi jauh dalam bidang ini. Sekolah terbaik adalah lokasi penggambaran selain merujuk pelakon senior.

“Diharap tahun depan, saya akan dapat lebih banyak tawaran dan watak yang berat serta mencabar,” katanya.

Antara drama lakonan Ameerul sudah ditayangkan di kaca TV adalah Dendam Aurora dan Joni Togo.
Rezeki juara Mr Planet Rezeki juara Mr Planet  Reviewed by Kakigosip on 04:48:00 Rating: 5
Powered by Blogger.