Publisiti Ini Tak Jatuhkan Maruah Keluarga - Nabila Razali

Penyanyi dan pelakon Nabila Razali tidak kisah dengan persepsi negatif sesetengah pihak mengangggap dia meraih publisiti dengan cara yang kurang baik gara-gara gimik percintaannya bersama Aedy Ashraf serta video dirinya menangis kononnya dikecewakan oleh aktor itu, yang tular sejak beberapa minggu lalu.



Menurut Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 25, dia tidak malu dengan tindakannya memuat naik gambar juga video berkenaan kerana semua itu memang merupakan sebahagian daripada perancangan dan strategi untuk mempromosikan muzik video terbaharunya, Pematah Hati.

"Sejujurnya saya tak malu pun dengan video tersebut sebab saya anggap itu kerja. Ia sebahagian daripada proses dalam melaksanakan muzik video saya. Publisiti untuk muzik video kali ini memang nampak ia dengan cara yang kurang baik tetapi ini semua ini adalah gimik dan lakonan semata-mata dan memang dirancang.

"Bukannya publisiti yang sampai menjatuhkan maruah keluarga saya. Bagi saya perkara ini bukan satu isu sebab pihak pengurusan saya mengadakan sidang media untuk menerangkan segala-galanya.

"Dan daripada publisiti yang kurang baik ini, saya telah tunjukkan hasil kerja saya iaitu muzik video ini. Saya bukan semata-mata naikkan nama saya dengan publisiti tetapi tidak ada hasil kerja untuk dikongsi kepada peminat. Dengan publisiti ini juga orang yang tidak kenal siapa Nabila Razali sekarang sudah kenal tapi dengan cara yang berbeza," jelasnya ketika majlis perlancaran muzik video tersebut bertempat di Red Box Pavilion, KL, pada Rabu.

Bagaimanapun bintang drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati ini menegaskan dia tidak berniat menipu peminat. Malah tindakannya memuat naik gambarnya bersama Aedy dan kemudian memadamkan daripada Instagram adalah bagi menjadikan gimiknya itu lebih realistik.

Namun dia tidak menyangka perkara tersebut menjadi perbualan hangat ramai sehinggakan timbul dakwaan mengatakan mereka menjalin hubungan cinta.

"Saya tidak menipu peminat. Gambar saya dengan Aedy yang saya muat naik itu merupakan salah satu kerja saya untuk muzik video ini cuma saya memang sengaja tidak dedahkan bahwa sebenarnya kami sedang jalani penggambaran. Jadi bermula dengan satu gambar yang saya muat naik di Instagram, pelbagai spekualsi timbul. Dan saya pun tidak pernah membuat kenyataan mengatakan saya dan dia bercinta.

"Saya cuma kata saya sedang mengenali hati budi dia semata-mata mahu mendapatkan keserasian sebab memang untuk lakonan dalam muzik video ini kami perlukan keserasian. Kami sekadar banyak berbual mengenai kerjaya lakonan masing-masing dan tidak sampai ke tahap terlalu peribadi.

"Saya buang gambar-gamabr dia dari IG untuk nampak lebih realistik. Memang kebiasaannya perempuan akan muat naik gambar kemudian akan delete dan itu adalah sebahagian daripada gimik. Gambar dia bersama perempuan lain itu pun juga memang sengaja dimuat naik,"jelasnya

Begitupun, Nabila mengakui selama beberapa minggu ini dia mula merasa tekanan apabila semakin banyak kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya tak kurang juga pelbagai spekulasi yang timbul mengenai hubungannya dengan Aedy. Bukan setakat netizen yang mengkritik malah dia juga turut dimarahi sebilangan peminat fanatik Aedy.

"Mula-mula saya okay saja tetapi apabila ramai orang termasuk orang yang rapat dengan saya bertanyakan macam-macam. Kenapa saya buat video itu? Kenapa saya muat naik di internet? Tidakkah saya malu dan tidakkah saya memikirkan tentang keluarga saya?, membuatkan saya rasa tertekan.

"Peminat-peminat Aedy juga ramai yang melemparkan kecaman terhadap saya. Ada yang mengatakan saya tidak layak menjadi kekasih Aedy. Tetapi hari ini saya lega kerana semua yang saya terpaksa rahsiakan telah pun dapat diperjelaskan," tuturnya sambil mengukir senyuman.

Dalam pada itu, ditanya mengenai reaksi keluarganya mengenai gimik sebegitu, Nabila berkata sejak daripada awal dia sudah berbincang dan memalumkan mengenai perancangan tersebut kepada keluarganya.

"Daripada awal lagi saya sudah bincang dengan keluarga. Malah ayah saya pula yang begitu mengambil berat dan bertanyakan samada saya okay atau tidak selepas gamabr-gambar itu dimuat naik. Dia memang seorang yang selalu membaca berita-berita di internet.

"Dia buka akaun IG semata-mata mahu mengikuti perkembangan saya. Dia yang pantau gambar dan video yang saya muat naik di IG. Sekiranya ada posting saya yang dirasakan tidak elok, dia akan meminta saya delete," katanya.
Publisiti Ini Tak Jatuhkan Maruah Keluarga - Nabila Razali Publisiti Ini Tak Jatuhkan Maruah Keluarga - Nabila Razali Reviewed by Kakigosip on 19:30:00 Rating: 5
Powered by Blogger.