Berita Terkini
recent

PRU14: Harapan bersedia kemungkinan Bersatu dibatalkan

Pakatan Harapan (Harapan) bersedia dengan kemungkinan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibatalkan menjelang PRU14.

Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu bukan perkara baharu bagi pembangkang kerana situasi sama pernah dilalui DAP menjelang PRU13 pada 2013.

"Tidak ada masalah...Jika ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) buat tindakan mengejut, Pakatan Harapan akan bersama-sama dalam menanganinya. Sebelum ini pun, mereka (ROS) buat masalah dengan DAP.

"Kami sentiasa bermesyuarat dan bersama-sama dalam apa juga keadaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama rakyat di sini, hari ini.


Hadir sama, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh; Adun Semambu Lee Chean Chung dan Adun Teruntum Sim Chon Siang.

Bersatu berhadapan kemungkinan pendaftarannya dibatalkan ROS kerana melakukan tiga kesalahan yang melanggar perlembagaan parti iaitu tidak mengadakan mesyuarat tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.

Ditanya jika beliau akan mengarahkan kepimpinan Bersatu supaya segera menyelesaikan konflik dalaman mereka, Wan Azizah berkata beliau yakin dengan kepimpinan parti itu dalam membuat keputusan terbaik.

Pada PRU13, DAP berdepan kemungkinan logo 'Roket' tidak boleh digunakan dalam pilihan raya selepas pendaftaran parti itu mungkin terbatal ekoran kemelut berhubung pemegang jawatan yang dibentuk semasa pemilihan parti pada 15 Disember 2012.

Semasa itu, Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP memaklumkan parti itu bercadang menggunakan logo Pas di Semenanjung dan simbol PKR di Sabah dan Sarawak, jika isu itu tidak diselesaikan sebelum pilihan raya tersebut.

Bagaimanapun, pada 18 April 2013, ROS mengesahkan bahawa DAP masih boleh menggunakan logo mereka memandangkan pendaftaran parti itu tidak terbatal kerana siasatan masih dijalankan berhubung kemelut dalaman parti itu.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.