Berita Terkini
recent

Pintu rezeki tetap ada: Anis Al-Idrus

SEJAK mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan hatinya, Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim awal Julai lalu, Anis Al-Idrus mengakui masih belum punya masa terbaik untuk berbulan madu kerana kekangan kerjaya dan komitmen lain.

Anis atau nama sebenarnya, Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus, 29, bagaimanapun tidak pernah menjadikan perkara tersebut sebagai suatu isu besar di dalam rumah tangga. Sebaliknya, pelakon drama Duda Terlajak Laris itu percaya, komunikasi yang baik adalah senjata paling ampuh di dalam keharmonian suami isteri.

“Kami cuba untuk saling toleransi dan faham dengan kerjaya masing-masing. Sejujurnya juga, sejak berkahwin saya belum selesai menjalani penggambaran untuk rancangan dokumentari berjudul Dia Pertama siaran RTM sejak Ramadan lalu. Tempoh penggambarannya agak panjang kerana kami terpaksa ke seluruh Malaysia untuk bertemu dengan tokoh berjaya dalam bidang masing-masing sebanyak 13 episod.

“Menerusi setiap episod pula, saya akan menemu bual dua tokoh dan kalau nak diikutkan, masih ada lima orang tokoh yang masih belum ditemu bual,” kata Anis yang memasang angan mahu berbulan madu di sebuah pulau.

Sokongan suami

Menyifatkan bertuah kerana mempunyai suami yang cukup memahami, bintang berasal Kelantan ini turut menambah, suami tidak pernah meletakkan sebarang syarat buatnya semenjak bergelar isteri kepada selebriti.

Pun demikian, Anis memberitahu sebagai isteri sudah menjadi satu kemestian untuk dia lebih berhati-hati dan tahu batas dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Meski suami tidak memberi sebarang syarat, saya kena faham batas yang perlu dipatuhi. Kena sedar apa yang boleh dan tidak boleh, lebih-lebih dengan penampilan saya selain status sebagai isteri orang. Kenalah jaga perasaan suami. Tapi Alhamdulillah, setakat ini suami tidak pernah sekat minat saya terhadap seni. Malah, suamilah menjadi penyokong paling kuat,” ujar Anis akan menemani suami tersayang di pejabat jika ada masa terluang.

Ujar isteri kepada kontraktor dan pereka hiasan dalaman ini, dia tidak sabar melancarkan single keduanya yang bakal dilancarkan Disember depan.

“Judul lagunya ialah Tak Guna hasil ciptaan Hafiz Hamidun. Konsepnya sedikit berbeza berbanding single pertama dulu. Lebih rancak dan muziknya juga lebih segar. Saya sudah pun rakam lagunya bulan lalu dan kini kami sedang melakukan final mixing. Insya-ALLAH, Tak Guna akan dilancarkan sekitar Disember nanti," katanya yang tidak sabar menanti maklum balas peminat.

Kata Anis, dia bakal mengendalikan sebuah lagi program dokumentari berjudul Cerita Bintang yang akan ditayangkan di HipTV.

Dalam perkembangan lain, aktres yang dilahirkan pada 21 Julai 1988 ini juga bakal sibuk di lokasi drama Tok Jogho yang akan memulakan penggambaran Januari tahun hadapan. Anis ditemui Media Hiburan di majlis pelancaran produk penjagaan wajah antarabangsa, Salima Skin Solutions di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Cuba fokus semua bidang

Melihat komitmen terhadap kerjayanya, Anis tidak terlepas daripada diajukan persoalan mengenai cahaya mata. Sedar itu adalah ‘soalan wajib’ bagi setiap pasangan berkahwin yang belum dikurniakan anak, Anis bagaimanapun tidak pernah melatah atau rimas.

“Kalau ada rezeki, kami terimanya dengan hati terbuka. Cepat atau lambat itu hanya Dia yang tahu. Kita hanya mampu berdoa, mengharapkan yang terbaik. Cuma, saya tidaklah rasa rimas bila ramai yang tanya bila nak dapat anak dan sebagainya. Saya faham dan cuba jawab selagi termampu. Doakan yang baik-baik sahaja buat kami ya,” pinta Anis yang turut memanjatkan rasa syukur kerana sejak bergelar isteri, rezekinya tidak pernah putus.

“Ramai juga yang tanya saya. Mana satu bidang yang mahu difokuskan. Jawab saya, saya mahu fokus semua seperti lakonan, nyanyian, pengacaraan dan bisnes sendiri. Apa yang penting, kita perlu susun jadual dengan sebaik-baiknya agar semuanya berjalan lancar.

“Pada masa sama, saya juga seorang yang gemar bekerja. Selagi diberikan kesihatan yang baik oleh-NYa, selagi itulah saya cuba penuhi masa dengan melakukan hal yang disukai. Malah, suami turut memberikan sokongan padu. Jadi bagi saya, pintu rezeki itu sentiasa terbuka dan tetap ada buat semua yang sentiasa mahu berusaha, insya-ALLAH,” akhiri Anis optimis.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.