Berita Terkini
recent

Pilihan Lagu Gagal Serlah Vokal Haida

PENYANYI Haida Hafiz beranggapan pemilihan lagu kurang tepat menjadi punca dia tersingkir dalam pertandingan Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Haida berkata, lagu Memori Daun Pisang yang dinyanyikan bersama Ezad Lazim seakan tidak menyerlahkan vokalnya.

"Saya rasa mungkin pemilihan lagu tersebut tidak menunjukkan vokal saya sepenuhnya dan itu menyebabkan saya tersingkir.

"Semasa persembahan pun ada masalah teknikal apabila mikrofon saya mengalami sedikit gangguan," katanya.

Haida ditemui semasa sidang media konsert minggu keempat GV4 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil Kuala Lumpur pada malam Ahad.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 36 tahun ini tidak menyalahkan mana-mana pihak sehingga menyebabkan dia tersingkir dalam program tersebut.

"Saya tak salahkan mana-mana pihak. Biasalah dalam sesebuah pertandingan, kadang-kala ada masalah teknikal sikit.

"Apa yang penting, saya selesaikan tugas dengan baik dan penonton seronok menyaksikan persembahan saya malam itu," katanya.

Pada konsert minggu keempat itu, Haida mendapat markah terendah daripada juri profesional iaitu sebanyak 52.8 peratus.

Manakala, markah tertinggi diperolehi oleh penyanyi Hazami iaitu sebanyak 86 peratus.
GV4 menampilkan Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang sebagai juri tetap manakala Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah tampil sebagai juri jemputan.

Menyebut mengenai kerjaya nyanyian selepas menamatkan program itu, Haida memberitahu dia dalam perancangan untuk menghasilkan single baharu.

"Insya-Allah, saya dan tim akan duduk berbincang bersama komposer Hafiz Hamidun mengenai perancangan untuk hasilkan single baru tidak lama lagi.

"Kali ini saya lebih serius dan fokus dengan nyanyian memandangkan GV4 memberi jalan kepada saya untuk dikenali semula.

"Rugilah kalau tak guna peluang yang ada ini dan harap peminat akan terus menyokong meskipun tidak lagi beraksi di pentas GV," ujarnya.


www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.