Berita Terkini
recent

Pesta Durian Sabtu ini, makan sampai kenyang

Sambutan menggalakkan dari penduduk Jengka sehingga jualan durian mencecah 600 kilogram sehari mencetus idea kepada seorang penjual di sini, untuk menganjurkan pesta durian 'makan sampai kenyang' pada harga bermula RM10 - RM18 seorang mengikut umur.

Mohd Supian Abu Bakar, 54, berkata, pesta durian itu akan diadakan 25 November ini, di mana sebanyak dua tan durian kampung dan satu tan durian kahwin akan dihidangkan kepada pengunjung dengan tema ala bufet.

Menurutnya, dengan membayar satu harga iaitu RM18 bagi pengunjung berusia 13 tahun ke atas dan RM10 bagi kanak-kanak tujuh hingga 12 tahun, pengunjung boleh menikmati sebanyak mana durian yang mereka mampu makan.

"Kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah adalah percuma. Di samping itu saya masih membuka gerai jualan bagi durian jenis Musang King RM48 (Gred A) sekilogram dan RM38 (Gred b) sekilogram. Manakala jenis D24 RM25, sekilogram.

"Idea ini tercetus selepas pertama kali saya membuka gerai jualan durian kelmarin, saya tidak menyangka sebanyak 600 kilogram durian kampung habis dijual sebelum jam 5 petang, hari pertama. Pada asalnya saya jangkakan stok tersebut untuk jualan selama tiga hari.

"Bagi durian Musang King dan D24 terjual sebanyak 250 kilogram. Sambutan sungguh luar biasa. Saya rasa, selain dari faktor murah boleh jadi kerana kekurangan bekalan dan permintaan dari peminat durian yang tinggi sekitar Jengka menjadikan jualan saya laris," katanya.

Isteri beliau, Rashidah Abdullah, 53, berkata, sebagai menghargai sambutan penduduk di sini, beliau dan suami akan menganjurkan pesta durian besar-besaran dengan membekalkan tiga tan durian secara keseluruhannya, Sabtu ini.

Orang ramai dijemput hadir ke gerai nombor 4, Jalan Besar Simpang Jengka 12 sebagai tanda sokongan kerana ini merupakan pesta durian pertama diadakan di Bandar Pusat Jengka.

Mohd Supian yang merupakan kontraktor Kejuruteraan Awam G4, memaklumkan akan terus menjual durian setiap hari sehingga musim durian berakhir.

Selain itu beliau dan isteri juga mengusahakan kedai barangan Hardware Jenka Makmur Enterprise di Bandar Pusat Jengka.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.