Berita Terkini
recent

Persembahan artis popular

MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sekali lagi menganjurkan PJ Fair 2017 dengan tema Folklore Festival (Festival Kesenian Budaya) pada 4 dan 5 November ini.

Festival kali kelima ini bertujuan menghimpunkan masyarakat Malaysia khususnya Petaling Jaya berdasarkan aspirasi masyarakat di bandar raya ini supaya lebih sihat, harmoni, sejahtera dan berbudaya.

Menurut Pengarah Komunikasi Korporat MBPJ, Haniza Abdul Hamid menerusi festival ini, MBPJ optimis mampu menaikkan lagi nama dan mempromosi bandar raya Petaling Jaya di peringkat antarabangsa.

"Buat pertama kalinya festival ini diadakan di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya bagi menggantikan lokasi penganjuran sebelum ini iaitu di Pusat Bandar, Seksyen 52, Petaling Jaya.

"Folklore sekali lagi diangkat sebagai tema selepas kali pertama diperkenalkan pada 2014 bertepatan dengan salah satu elemen dan hala tuju utama Petaling Jaya Sejahtera 2030 (PJ Sustainable 2030) iaitu Budaya dan Komuniti – Masyarakat Harmoni, Selamat dan Prihatin," katanya. 

PJ Fair turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan di bawah Program Sister City antaranya ialah bandar Bandung (Indonesia), bandar Miyoshi, Saitama (Jepun), bandar Asan dan Bandar Seongbuk-Gu (Korea Selatan), dan Singapura.

Pelbagai aktiviti termasuk urban dance and Zumba, flea market, memancing, berkelah, kayak & waterball, smart ride, pertandingan bola jaring, pertandingan skateboard, foodgasm, persembahan kebudayaan, buskers dan  pameran. 

Sementara acara kemuncak adalah persembahan nyanyian artis popular tanah air iaitu Datuk Ramli Sarip, Datuk M Nasir, Ameng Spring, Kaka Azraff, Mr.5k dan Annabella manakala pertunjukan bunga api diadakan pada akhir konsert.

Penganjuran PJ Fair 2017 turut mendapat kerjasama strategik pihak Bandung (Indonesia), Miyoshi, Saitama (Jepun), Asan dan Bandar Seongbuk-Gu (Korea Selatan) dan Foodgasm Fest.

Untuk info lanjut, orang ramai boleh ikuti laman sosial Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan PJKITA (facebook, twitter dan instagram) atau layari www.pjkita.my.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi terus urus setia program, Jabatan Perancangan Pembangunan MBPJ, di Tingkat 2, Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Jalan Yong Shook Lin, 46675 Petaling Jaya di talian 03-79563544.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.