Berita Terkini
recent

Persembahan artis generasi baru

Lebih 3,000 peminat menyaksikan persembahan mini sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun FMC Music yang berlangsung dengan jayanya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Isnin lalu.

Rata-rata memberikan tepukan gemuruh setiap kali barisan artis generasi baru naungan label itu tampil di pentas untuk membuat persembahan.

Antara yang menghiburkan penonton ialah Haqiem Rusli, Wany Hasrita, Sissy Imann, Wani GGV, Tajul, Syed Shamim, Ernie Zakri, Muna AF dan Putera Band.

Wany Hasrita yang popular menerusi lagu Menahan Rindu dan lagu duet Disana Cinta Disini Rindu bersama Tajul meluahkan rasa teruja setiap kali menerima sorakan penonton.

“Sorakan daripada penonton dan peminat membuatkan kami rasa dihargai dan itu sedikit sebanyak membuatkan saya lebih bersemangat untuk membuat persembahan bagi menghiburkan mereka,” katanya.

Tidak hanya menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popular, Sambutan Jubli Perak 25 Tahun FMC Music turut menyaksikan pelancaran single terbaru artis di bawah naungan syarikat rakaman itu.

Antara single yang dilancarkan adalah Aku Cinta nyanyian duet Ernie bersama Syamel, Rintihan Rindu (Wany Hasrita), Jatuh (Sissy Imann), Aku Selalu Setia (Wani GGV), Takdir Cinta (Muna AF), Tersiksa (Putera Band), Melamar Rindu (Tajul), Mana Tahu Siapa Tahu (Syed Shamim) dan Jatuh Bangun (Haqiem Rusli).

Bagi Sissy, pelancaran lagu barunya sedikit sebanyak membuktikan dia masih bergerak secara aktif dalam industri.

“Mungkin ramai menyangka saya sudah menyepi. Hakikatnya saya aktif di belakang tabir.

“Jatuh diharap dapat membuka mata peminat dan pengikut industri yang saya masih ada serta serius dalam bidang nyanyian,” katanya.

Selain itu, acara penuh gilang-gemilang itu turut menyaksikan pelancaran video klip baru lagu Jatuh Bangun nyanyian Haqiem yang menggunakan teknologi Augmented Reality (AR).

Tidak terhenti di situ, FMC juga berkongsi kegembiraan dengan semua peminat apabila saluran YouTube rasmi mereka kini mencecah 500,000 pelanggan.

Selain artis yang hadir, FMC juga kini menaungi beberapa artis tidak dapat hadir antaranya Wan Azlyn yang kini sedang berjuang di D’Academy Asia 4, Elyana, Syura, Afiq (Idola Kecil) dan Azhar AF.

Pada acara itu, pengunjung berpeluang mendapatkan cakera padat artis naungan FMC dengan harga berpatutan selain berpeluang mengambil autograf dan bergambar bersama.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.