Berita Terkini
recent

Permintaan terakhir tidak sempat ditunaikan

"Baru ni kami tebang pokok kelapa sebab ayah nak makan (sayur) umbut nyior dan minta kami buatkan selepas dia pulang dari kenduri itu tapi dia tak sempat tiba di rumah,” kata Nurulhuda Asarah, 28.

Nurulhuda merupakan anak sulung kepada Mhd Sari Muda, 52, yang terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 33, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, dekat Penjara Marang di sini, lewat petang semalam.

Turut terkorban dalam nahas membabitkan Proton Iswara Aeroback dipandu bapanya dengan sebuah bas itu ialah ibunya, Mizah Mamat, 56, adik perempuannya, Saerah, 18, serta sepupunya, Nur Adibah Ramli, 19.


Nurulhuda (kanan sekali) ketika bersama ibunya, Mizah dan adiknya, Saerah sebelum kejadian berlaku.
Menurut Nurulhuda, disebabkan bapanya ingin sangat makan sayur umbut nyior, tiga batang pokok kelapa telah ditebang, dua daripadanya diberikan kepada penduduk manakala sebatang disimpan untuk bapanya.

“Walaupun reda dengan kehilangan ini, saya agak terkilan kerana permintaan terakhir ayah itu tidak dapat kami ditunaikan. Mereka dah ada dekat sini (Marang),” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Katanya, dia juga sempat menghubungi adiknya 20 minit sebelum kejadian itu berlaku untuk mengetahui di mana lokasi mereka berada selain bimbang kerana hari pun sudah agak lewat.

"Mereka bertolak dari rumah kami awal pagi lagi, lebih kurang pukul sembilan pagi. Memang sejak dari awal pada minggu ini lagi kami sekeluarga sudah merancang hendak pergi majlis kenduri itu.

"Saya sebenarnya hendak ikut tapi saya rasa tak sedap badan. Kalau tidak kami memang pergi bersama. Sebelum kemalangan itu saya sempat telefon adik, masa itu mereka di Rantau Abang," katanya.

Nurulhuda berkata, ayah dan ibu serta adiknya itu tidak pernah menunjukkan sebarang kelainan ketika berada di rumah sejak akhir-akhir ini malah mereka kelihatan ceria dan gembira seperti kebiasaannya.

Dalam pada itu, Pegawai Khas kepada Adun Pengkalan Berangan, Mohd Fazli Ali berkata, wakil rakyat kawasan itu akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga itu.

Beliau berkata, Adun Pengkalan Berangan juga exco kerajaan negeri, A Latiff Awang ketika ini berada di German kerana lawatan kerja bersama Menteri Besar TTerengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

"Yang Berhormat turut menyampaikan salam takziah kepada ahli keluarga mangsa dan berharap ahli keluarga mangsa dapat bersabar dengan dugaan yang dihadapi ini," katanya.

Jenazah mangsa selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerung Surau kira kira jam 4 petang tadi dengan bantuan anggota Jabatan Amal Marang dan penduduk setempat.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.