Berita Terkini
recent

Percaturan Scha Al Yahya

KELIBAT figura ini di dalam industri seni tidak perlu diperkenalkan lagi.

Tidak hanya berjaya dalam karier sebagai pengacara dan pelakon, dia juga menjadi antara ibu muda yang dicontohi ramai.

Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya atau lebih dikenali dengan nama glamornya Scha Alyahya turut cemerlang dalam perniagaan dan jurucakap untuk pelbagai kempen kesedaran dan kemanusiaan.

Biarpun tidak semua pencapaiannya diiktiraf dalam bentuk anugerah, namun isteri kepada Awal Ashaari ini tetap menjadi inspirasi peminat.

 Bagi wanita berusia 34 tahun ini, masih banyak lagi pencapaian yang diharapkan dalam industri ini.

"Apa yang saya harapkan masa saya di dalam industri boleh bertahan lama lagi dan saya nak gunakan pengaruh yang ada untuk kempen kesedaran dalam membantu orang lain.

"Walaupun bunyinya tidak besar, tapi saya rasa sebagai selebriti, penting untuk kita mencipta kesedaran dalam banyak perkara dan mempengaruhi orang lain untuk berbuat kebaikan," katanya kepada Media Hiburan ketika ditemui pada sesi meet and greet Dutch Lady Nutriplan di Mydin Mall, USJ, kelmarin.

Scha sebelum ini pernah dilantik sebagai jurucakap bagi kempen World Hunger Relief (WHR) KFC & Pizza Hut 2015 dan terbaru selebriti ini bersama suami dan anaknya, Lara Alana dilantik sebagai duta untuk program Discover Hong Kong bagi mempromosikan lokasi dan tempat makan halal di sekitar Hong Kong.

Selain itu, Scha berkata, dia kini masih dalam proses perbincangan untuk projek filem yang dijangka bermula November depan.

"Buat masa ini saya sudah memperlahankan karier saya dan hanya terlibat dengan sesi meet and greet atau road tour sebagai duta produk.

"Biasanya saya akan sibuk dari awal tahun hingga pertengahan tahun dan kemudian mengambil alih tugas mengasuh anak, manakala Awal pula akan mula sibuk dari pertengahan tahun hingga akhir tahun.

"Setakat ini begitulah rutin kami semenjak adanya Lara," jelasnya.

Scha turut berkongsi pernah menerima tawaran mengacarakan program sendiri namun mahu menerimanya jika benar-benar berbaloi untuk dilakukan.

"Saya tak nak buat hanya kerana saya rasa nak buat atau orang suruh buat. Kalau boleh saya tak mahu tergesa-gesa dan jika kena dengan masa atau ada tawaran yang sesuai, Insya-ALLAH saya akan cuba," jelasnya yang kini sibuk mengendali butik SchAwal yang terletak di Jakel Mall.

Lara penguat jiwa

Scha yang sudah masuk tahun kedua dilantik duta Dutch Lady Nutriplan bersama Lara turut melakukan sesi road tour dan promosi di Mydin dan sepanjang kariernya, dia sering menjayakan promosi serta persembahan di pasar raya besar itu.

"Selalunya untuk sesi jelajah dan promosi, Lara tidak turut serta. Sempena ulang tahun ke-60 Mydin tahun ini, saya nak ambil kesempatan untuk ucapkan selamat hari jadi kepada Mydin," katanya.


Dalam pada itu, ditanya reaksinya mengenai kritikan dan cemuhan netizen terhadap perkembangan Lara, Scha berkata, dia mengambil pendekatan positif untuk tidak mempedulikan kata-kata orang lain dan merasakan dia lebih mengenali anaknya itu.

"Kami bukan nak bersikap ego atau meninggi diri, tapi sejak Lara bayi lagi, dia sudah ada doktor yang memantau, baik daripada kesihatan mahupun perkembangan dia.

"Malah kami juga hantar dia ke sekolah sejak dia berumur setahun lima bulan. Jadi kenapa kami nak fokus pada segelintir yang mengkritik, sedangkan ada ramai lagi yang menyayangi dan mendoakan kebaikan untuk Lara," ujarnya.

Tambah Scha, kehadiran Lara juga menjadikan dia sebagai insan yang lebih kuat dan positif dalam menghadapi segala dugaan yang datang.

"Saya sebagai ibu tidak pernah menyesal mengenalkan Lara kerana sebagai anak selebriti, lambat laun orang akan kenal dia.

"Bunyi mungkin klise, tapi sejak Lara ada, dia jadikan saya insan yang lebih positif dan kuat. Jadi saya rasa tidak perlu untuk ambil pusing dengan hal-hal yang negatif," katanya yang kini berusaha untuk menimang cahaya mata kedua.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.