Berita Terkini
recent

Penyanyi popular berkampung di Kuantan

Buat julung kalinya Kuantan menyaksikan gabungan artis terkenal tanah air. Dibanjiri ribuan penonton, rata-rata yang hadir tampak cukup terhibur menyaksikan Konsert Pesona yang dipersembahkan RTM.

Dianjurkan sempena Karnival Sehati@RTM, konsert ini dimulakan dengan persembahan Siti Sarah menerusi lagu Jangan kau Mimpi sebagai pembuka acara. Kemeriahan ini ditambah dengan kemunculan Ernie Zakri yang membawakan lagu Jangan Marah.

Tidak mengetepikan anak tempatan, konsert ini turut diserikan dengan persembahan Zetty dan Anok Semantan.

Gandingan penyanyi lama dan baharu dalam konsert berdurasi dua jam ini mendapat reaksi positif dan bertenaga penonton. Bukan sekadar menyanyi bersama malah mereka turut serta dalam aktiviti yang dijalankan.

Malah, pemilihan Karl Shafek dan Sharifah Syahirah sebagai hos menghidupkan suasana. Sementelah mereka anak jati Pahang yang menaikkan suasana dengan dialek negeri itu.

Konsert Pesona ini turut menampilkan Ezad Lazim dan Waris yang mengalunkan lagu popular masing-masing. Diikuti dengan ‘bomoh’ Jampi, Hael Husaini yang kian popular dengan single solo pertamanya. Hael kemudian menyampaikan Ceritera Cinta’ secara duet bersama Siti Sarah.

Bagi menghangatkan lagi suasana, ratu dangdut Amelina muncul dengan busana merah cili mendendangkan lagu popularnya Rindu dan Di Dadaku Ada Kamu. Aura dan gelek sederhana Amelina sudah cukup membuatkan rindu penonton terubat dan terhibur.

Pentas kemudian diambil alih penyanyi muda. Meskipun masih hijau, populariti mereka tidak dapat disangkal lagi apabila 7,000 penonton bersorak riang.

Haqiem Rusli mendendangkan lagu Tergantung Sepi dan Segalanya diikuti Tajul dengan lagu Sedalam Mana Cinta.

Tidak sah kalau Tajul tidak muncul dengan teman duetnya, Wany Hasita. Pasangan duet ini menyampaikan lagu yang mencatat 27 juta tontonan di YouTube iaitu Menahan Rindu.

Atmosfera Dataran Serambi Teruntum, Kuantan dimeriahkan lagi dengan kehadiran penyanyi legenda yang memberikan persembahan penuh bertenaga.

Saleem menyampaikan lagu Suci Dalam Debu disusuli Juwita yang menjadi kekuatan anak jati Terengganu itu.

Lama tidak menyaksikan Mus May muncul di konsert terbuka. Penyanyi kelahiran Perak itu mendendangkan lagu Cintamu Mekar Di Hati dan Gadis bertudung Putih bagi me­ngubati rindu khalayak.

Menurut Mus May, kesihatannya semakin pulih sejak keluar dari hospital. Dia kini dalam rangka penggambaran filem arahan Mamat Khalid dan menitikberatkan kesihatan dengan bersenam dan menjaga pemakanan.

Sorakan penonton semakin kuat apabila Datuk Jamal Abdillah muncul dengan lagu Sendiri dan Gadis Melayu. Tampan dan bergaya, Jamal memukau peminat dengan vokalnya yang hebat.

Penutup acara menyaksikan kemunculan penyanyi terunggul iaitu Mus May, Ezad Lazim dan Saleem menyampaikan lagu Isabella 98 dengan iringan ribuan penonton yang nyata puas dengan persembahan yang diberikan pihak RTM.

Dengan diiringi kombo RTM, pemuzik pada malam terbabit dipimpin Chakam.

Konsert yang bersiaran langsung di saluran TV2 itu juga menjadi trending di laman sosial Twitter. Menurut penerbit konsert, Rashidah Ali, dia sa­ngat bersyukur dengan sambutan yang diberikan penduduk Kuantan.

“Saya mewakili pihak produksi dan RTM berasa sangat gembira dengan sambutan penonton. Kehadiran mereka melunaskan objektif RTM mendekati masyarakat. Terima kasih saya ucapkan kepada semua,” kata Rashidah.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.