'Penghormatan buat saya'

Percubaan pertama Salimey Abu Bakar tampil dengan single pertama berjudul Pertama Kali membuahkan hasil.

Selain dijadikan tema drama bersiri Seharum Mawar, Hola Hermosa, Air Mata Di Bumi Matador dan Pengemis Itu Saudara Ku, lagu itu juga mendapat tempat di beberapa stesen radio.

Buktinya lagu ciptaan Fauzi Aisunam itu turut tercalon untuk kategori Penyanyi Lelaki Hot 2017 dan Penyanyi Baru Hot 2017.

Top Hot 2017 adalah kempen on-air dan digital anjuran sepenuhnya Hot FM (Synchrosound Studio Sdn Bhd) bermula 6 November sehingga 29 Disember ini.

Pencalonan ini untuk pusingan pertama apabila Salimey perlu bersaing dengan beberapa penyanyi baru antaranya Along Mentor Millenia dan Haikal Azman selain artis popular seperti Nora Danish serta Nazim Othman.

Semuanya memperkenalkan ‘single original’ mereka pada tahun ini dan lagu mereka dimainkan di Hot FM bermula 1 Januari sehingga 31 Oktober lalu.

Undian ini dibuka pada 13 November lalu dan akan berakhir 24 November ini bagi mencari lima calon yang mendapat undian tertinggi untuk mara ke pusingan akhir.

Salimey, 40, mengakui tidak menyangka lagunya turut tersenarai dan menganggap penghormatan terhadap bakatnya.

“Memang tak jangka langsung kerana siapalah saya kalau nak dibandingkan dengan pesaing lain. Saya orang baru dan lagu ini bukanlah kuat sangat jika dibandingkan lagu lain.

“Namun apabila dicalonkan, sudah tentulah saya bangga kerana ia membuktikan lagu ini ada peminat,” katanya.

Salimey berkata, semangatnya yang hampir padam untuk terus berkarya kini kembali marak dengan pemilihan ini.

“Saya bekerja keras mempromosikan lagu ini dan tak dinafikan agak kecewa apabila sambutan yang diterima sederhana.

“Bahkan saya seakan-akan tenggelam punca untuk mencari jalan bagaimana mahu memperkenalkan lagu ini kepada orang ramai. Sekurang-kurangnya apabila tersenarai, apa yang dibuat selama ini tidak sia-sia,” katanya.

Salimey sebelum ini pernah bergelar Pegawai Perhubungan Awam Zanzibar Records.

Dia bertanggungjawab menguruskan promosi artis syarikat itu antaranya Datuk Nassier Wahab, GG Group dan FGI.

Mengulas lanjut penyertaannya, Salimey mengharapkan agar peminat membantunya dengan mengundinya di laman sesawang Hot FM.

“Saya berkempen di Facebook dan Instagram dengan menekankan kepada peminat menerusi Jom Undi Salimey.

“Mereka boleh klik nama saya banyak kali. Tak kisah berapa kali mereka nak klik nama saya kerana tiada had. Cuma ia perlu dibuat segera kerana tarikh tutupnya sudah dekat,” katanya.

Menurutnya, mungkin ada peminat sering mendengar lagu Pertama Kali tetapi tidak mengenalinya boleh membantu memilihnya.

“Saya berterima kasih terhadap mereka yang memberikan kerjasama. Sebenarnya lagu ini juga berada dalam carta lagu THR Gegar.

“Lagu ini amat popular di pantai timur. Saya berterima kasih dengan stesen radio Manis FM kerana kerap memainkan lagu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Salimey turut berterima kasih dengan penerbit drama yang memilih lagunya menjadi lagu tema.

“Pemilihan Pertama Kali dalam drama Seharum Mawar yang disiarkan di RTM pada Ramadan lalu sangat membantu lagu ini.

“Selepas ini peminat dapat menikmatinya menerusi telefilem Pengemis Itu Saudara Ku yang akan disiarkan di TV3 tak lama lagi,” katanya.

Mereka yang ingin mengundi boleh berbuat demikian di www.hotfm.com.my.
'Penghormatan buat saya' 'Penghormatan buat saya' Reviewed by Kakigosip on 04:46:00 Rating: 5
Powered by Blogger.