Berita Terkini
recent

Pekin tunjuk pelbagai bakat terpendam

PELAKON filem dan teater Pekin Ibrahim hanya mengambil masa tiga minggu untuk belajar menyanyi, bergurindam, berpantun dan bersilat bagi memastikan dapat membawa watak utama dalam  teater muzikal ‘Bangsawan Dendam Laksamana’.

Walaupun tempoh begitu singkat,   Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 36, yang pernah merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia 2016, tidak patah semangat untuk membawa  watak Laksamana Megat Sri Rama buat pertama kali.

“Bukan mudah kerana dalam pementasan ini memerlukan kami untuk menyanyi, bersilat, berpantun dan bergurindam jadi saya perlu memahami skrip dengan baik," katanya kepada Bernama selepas pementasan bangsawan itu di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur  (DBKL) malam tadi.

Pekin berkata selain itu, teater bangsawan memerlukan beliau dan pelakon lain untuk memahami skrip dengan baik kerana ia berbeza dengan gaya bahasa teater yang lebih moden.

 Pekin yang sebelum ini terkenal dengan lakonannya dalam filem seperti Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010), Bunohan (2012) dan Munafik (2016) kini terus melangkah ke depan dengan mencuba bakat dalam bidang pementasan teater bangsawan, berkata selain latihan silat, bacaan skrip dan nyanyian, beliau juga perlu  belajar meniup seruling.

Bangsawan Dendam Laksamana yang dipentaskan selama tiga hari bermula Jumaat lalu di Auditorium DBKL adalah hasil gandingan sulung Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dengan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Sendeng Malaysia dan Pat Ibrahim Project Entertainment.

Persembahan teater selama dua jam itu yang turut menampilkan pelakon dan penyanyi Nadia Aqilah, Megat Sharizal, Anwar Rusdini dan Hamzah Tahir menceritakan kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang yang digarap daripada buku 'Masyhor Malaya' karya Shaharom Husain yang diterbitkan pada 1978.

Pengarahnya Taufik Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Pat Ibrahim, 51 berkata banyak cabaran yang perlu dilaluinya untuk mementaskan teater bangsawan sulungnya ini, kerana “mempunyai formula atau bentuk yang perlu kita ikut.”

“Semua garis panduan dan teras dalam persembahan itu juga perlu kita ikut dan tidak boleh dilanggar sahaja,” katanya dan menambah ini berbeza dengan pementasan teater muzikal yang lain.

Walaupun mempunyai  pengalaman dalam bidang seni persembahan sejak 25 tahun lepas, Pat menganggap  persembahan kali ini amat mencabar  kerana perlu sentiasa mematuhi cara persembahan teater muzikal bangsawan.

Pat yang pernah terlibat dalam persembahan teater  muzikal “Puteri Gunung Ledang The Musical” dan “P. Ramlee The Musical”, berkata beliau terpanggil untuk mementaskan bangsawan bagi menghidupan semula teater tersebut yang kini semakin dilupakan.

Bagi Nadia, 32, yang merupakan pelakon drama Emil Emilda, Sindarella (2007) dan filem Zaiton:Ceritaku (2012). berkata cabaran utama baginya  dalam persembahan kali ini adalah untuk menjiwai watak Wan Anum, selain keserasian dengan semua pelakon.

Sementara itu, pelakon dan penggiat teater terkenal negara, Fauziah Nawi dalam akaun Facebooknya memuji kemampuan pelakon-pelakon yang terlibat dalam persembahan teater bangsawan tersebut.

"Saya selalu cakap dalam kelas lakonan saya nak jadi pelakon yang sempurna kena tahu menari, menyayi dan bersilat. Lihat ini terbukti (dalam teater bangsawan ini) . Hanya yang ada kelebihan ini dipilih beraksi dalam Bangsawan Dendam Laksamana arahan Pat Ibrahim," katanya.

Pengarah filem, Virginia Kennedy dari Australia yang telah menetap di Malaysia sejak 20 tahun lepas, pula berkata: "Saya rasa ia benar-benar menghiburkan.”

“Jalan ceritanya benar-benar berkesan dan menyedihkan serta diolah dengan bijak… sedikit macam (karya) Shakespeare,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.