Berita Terkini
recent

Pekin Ibrahim tidak tinggalkan lakonan

BIARPUN sibuk dI belakang tabir menyiapkan filem kedua arahannya, KL Wangan, Pekin Ibrahim buat pertama kalinya muncul menjayakan pementasan bangsawan.

Menerusi naskhah arahan Pat Ibrahim yang dipentaskan pada 10 hingga 12 November lalu itu, Pekin yang memegang watak Laksamana Megat Seri Rama mendapat pujian ramai.

Walaupun penampilan pertamanya dalam teater bangsawan namun atas dasar ingin mencuba selain yakin kebolehan Pat sebagai pengarah, Pekin mengakui banyak belajar perkara baru.

Justeru, dia yang pada mulanya hampir menolak tawaran berkenaan ternyata gembira dengan tugas itu.

“Saya pernah berlakon teater, tapi persembahan bangsawan berbeza sebab sangat mencabar kemampuan lakonan saya,” ujar Pekin yang dilihat serasi bergandingan dengan Nadia Aqilah.

Menariknya, dalam pementasan ini juga, Pekin tampil bermain seruling dan menyanyi secara live dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Saya boleh menyanyi sikit-sikit, tapi lebih kepada lagu rock dan bukan lagu Melayu Asli sebagaimana dalam pementasan ini. Gementar jangan cakaplah, tapi persediaan dan latihan mencukupi, saya dapat lakukan dengan baik," katanya yang turut memuji kebolehan Nadia Aqilah yang hebat dalam nyanyian.

Pekin juga teruja kerana dapat berkongsi bakat bermain seruling secara live bersama penonton yang mungkin tidak tahu bakatnya dan dia sendiri gemar meniup seruling.

Pelakon teater Mat Deris Kuala Perlis ini juga berkongsi perkembangan terbarunya yang kini masih dalam proses menyiapkan KL Wangan dalam fasa post produksi sebelum ia ditayangkan kepada umum tidak lama lagi.


“Saya mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya kerana mahu lebih baik daripada filem terdahulu. Buat masa ini memang saya tak buat kerja lain selain terperap di studio untuk melakukan kerja-kerja akhir selain promosi untuk filem aksi yang saya rasa cukup gempak ini.

“Acara road tour KL Wangan kini sedang rancak berlangsung di seluruh negara dan mengharapkan ia dapat memberikan pendedahan yang secukupnya tentang filem ini,” ujarnya teruja.

Suntikan semangat Datuk Yusof Haslam

Menurut Pekin juga, ketika ini dia hanya mahu memberikan tumpuan kepada filem sahaja biarpun banyak menerima tawaran untuk drama dan telefilem.

“Kalau ikutkan hati, memanglah nak buat semua tapi saya juga kena realistik. Mana mungkin kita dapat melakukan semua benda dalam satu masa dengan kualiti terbaik.

“Jadi saya kena pilih untuk memberi keutamaan kepada benda yang saya perlu berikan perhatian terlebih dahulu,” katanya yang memiliki syarikat produksi sendiri.

Pekin yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik Lelaki Festival Filem ke-28 ini menegaskan dia masih aktif berlakon selain dalam proses menyiapkan skrip filem terbaru, Bintang Satu dan projek-projek dokumentari.

“Saya tidak akan memperlahankan lakonan sebaliknya cuba seimbangkan antara keduanya agar dapat terus buat benda yang saya suka dan minat.

“Cuma seperti yang saya katakan tadi, tumpuannya kepada filem. Jadi untuk drama mahupun telefilem mungkin saya tidak dapat buat untuk ketika ini dan penglibatan saya dalam persembahan bangsawan baru-baru ini juga hanyalah berlaku secara kebetulan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Pekin turut meluahkan terima kasih kepada Datuk Yusof Haslam yang sebelum ini banyak mendorongnya berdikari dan menerbitkan filem sendiri.

Malah pengarah dan penerbit tersohor itu sentiasa memberikan tunjuk ajar tentang selok-belok industri selain memberi kata-kata perangsang agar Pekin boleh berjaya sebagai mana yang dilalui oleh dua anaknya, Shamsul dan Shafiq Yusof.

“Datuk adalah orang yang sentiasa menyuntik semangat kepada saya untuk berdikari dan mengembangkan bakat saya dengan cara dan tempat yang betul.

“Pernah satu hari saya hampir menangis dengar kata-kata motivasi yang dia berikan kerana betapa dia mengambil berat kepada penggiat seni yang baru mahu bertapak seperti saya ini.

“Dulu saya nak cakap dengan Datuk pun takut-takut, tapi selepas kenal  rapat saya cukup terinspirasi dengan apa yang dimilikinya hari ini dan menjadikan dia sebagai contoh terbaik untuk saya mengejar mimpi saya selepas ini,” akuinya Pekin yang kini sedang merancang untuk kembali dengan sekuel filem Mat Moto2.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.