Berita Terkini
recent

Panas baran, tak sabar dan degil

Selepas kejayaan gandingan mereka dalam drama bersiri Hero Seorang Cinderella (HSC), filem TV berjudul Wanita Terindah memenuhi harapan peminat untuk melihat pelakon Nur Fazura dan Fattah Amin bersama sekali lagi.

Namun, naratif kali ini berbeza apabila memperlihatkan sisi mereka sebagai teman dan bukan pasangan kekasih.

Bukan niat menghampakan peminat tetapi penulis skrip Wanita Terindah, Rafidah Abdullah mahu lari daripada kisah cinta sebaliknya menampilkan kehidupan seorang lelaki yang berjuang untuk keluarganya.

Baginya, naskhah Wanita Terindah sangat istimewa kerana ia tidak hanya ditujukan buat teman wanita semata-mata sebaliknya lebih kepada kasih sayang buat orang tua dan keluarga.

“Saya mahu menonjolkan kisah keluarga dan fokus utama ialah terhadap lelaki yang menggalas tanggungjawab besar terhadap keluarganya.

“Kalau kisah Fazura dan Fattah bercinta itu sudah biasa sangat. Pemilihan tayangan di Astro First Ekslusif juga kerana saya mahu seisi keluarga menyaksikan filem ini,” katanya.

Wanita Terindah mula menemui penonton di saluran Astro First Eksklusif sejak semalam. Selain Fattah dan Fazura sebagai teraju utama, filem itu turut dibintangi Sarah Hildebrand, Liza Othman dan Samantha Katie James.

Berkongsi perasaannya mengenai filem itu, Fattah berkata wataknya jauh berbeza daripada apa yang pernah dipersembahkan sebelum ini.

“Belum pernah lagi saya bawa watak lelaki panas baran. Memang susah dan mencabar untuk saya mengambil ‘mood’ seperti itu.

“Jalan cerita karya ini juga berbeza daripada cerita saya sebelum ini. Pastinya saya mahu filem ini menjadi pengajaran buat lelaki,” katanya.

Wanita Terindah juga terhasil daripada lagu yang pernah dinyanyikan Fattah berjudul Wanita Terakhir dan ia turut diterjemahkan dalam bentuk novel tulisan Ezza Mysara.

Wanita Terindah mengisahkan Fahim (Fattah) seorang jurugambar yang panas baran, kurang penyabar dan degil.

Namun dia yang juga anak tunggal sangat rapat dengan ibunya, Zahra (Liza). Dia menganggap Zahra wanita terakhir baginya dan tiada perempuan lain mampu menandingi ibunya.

Fahim mula terasa hati apabila ibunya membawa pulang seorang kanak-kanak bernama Fikri. Kehadiran Fikri membuatkan jiwa Fahim memberontak.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila Fikri didapati menghidap penyakit leukemia dan memerlukan rawatan kerap dengan kos yang tinggi. Ini membuatkan Fahim semakin gelisah dan tertekan.

Kehadiran teman sekerja Fahim iaitu Nuryn (Fazura) banyak mengubah pemikirannya dan dia mula menerima Fikri.

Ketika mereka mula meniti kebahagiaan, tragedi menimpa keluarga kecil Fahim dan dia kehilangan ibu tersayang.

Bermulalah satu tanggungjawab baru buat Fahim untuk membesarkan Fikri disamping merawat sakitnya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.