Berita Terkini
recent

Pakai baju ni kena kecam

PELAKON dan pengacara jelita, Mira Filzah, 24, tidak berkecil hati dengan kecaman netizen terhadap pakaian digayakannya ketika menghadiri majlis Anugerah Skrin 2017 (ASK 2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Mira dikecam netizen di media sosial berikutan pakaian rekaan Syamil Fazwan yang digayakannya didakwa menyerlahkan warna kulit dan kurang sesuai buat gadis bertudung sepertinya.

Sebelum ini beberapa selebriti wanita menerima kecaman kerana menggayakan fesyen sedemikian seperti Neelofa, Janna Nick dan Fazura.

Pelakon drama Cinta Si Wedding Planner ini berkata, dia faham sebagai selebriti apa saja yang dipersembahkan di hadapan masyarakat pasti akan menjadi perhatian.

“Mereka akan berminat untuk memberi komen. Cuma, apabila komen itu lebih ke arah kecaman dan negatif, saya tidak mahu ambil pusing.

“Apatah lagi hendak berasa kecil hati kerana saya sedar zaman sekarang memang netizen sangat aktif memberi komen di laman sosial," katanya.

Menurut Mira, pakaian yang digayakan di ASK 2017 itu masih lagi menepati ciri-ciri terbaik buat gadis bertudung sepertinya.

"Saya ingin menjelaskan warna sebenar baju itu adalah kuning gelap dan tidak mengikut langsung warna kulit saya seperti didakwa.

"Malah, baju itu juga saya gayakan dengan palazo dan tudung pun masih dipakai labuh menutup bahagian dada," katanya.

Mira berkata, selepas ini dia akan lebih berhati-hati dalam pemilihan warna untuk rekaan pakaiannya untuk digayakan pada mana-mana majlis anugerah.

"Saya tetap menerima komen segelintir netizen yang tidak mengecam tetapi berkongsi pendapat peribadi mereka yang boleh saya guna pakai pada masa depan.

“Saya juga akan berusaha memperbaiki kelemahan itu dan pada masa sama akan lebih berhati-hati," katanya yang juga pengacara program Mahligai Cinta di TV3.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.