Berita Terkini
recent

Nurul Wahab tampil album Perancis, Humaine

BUKAN lagi omongan kosong, Nurul Wahab berjaya merealisasikan impiannya melalui kelahiran album terbarunya dalam bahasa Perancis.

Diberi nama Humaine, album yang mendapat sentuhan daripada komposer muda berbakat besar, Kirsten Harma itu dijangka bakal menembusi pasaran Eropah, akhir tahun ini.



Bahkan, pelantun Kerana Terluka ini sedang sibuk menjalani proses penggambaran pembikinan kulit album dan klip video muzik hasil kolaborasi dengan Kelab Pelancongan HVT di Paris sehingga 7 November depan.

“Alhamdulillah, mungkin ini rezeki saya. Lagipun, album tu dah siap Jun lalu. Tapi, sebab jadual terlalu padat, saya terpaksa menangguhkan sebentar. Insya-ALLAH, saya akan berada di sana selama seminggu,” katanya kepada Media Hiburan.

Mengulas lanjut, katanya, idea menghasilkan album terbabit sudah lama dipendamkan.

Pada masa sama, suaminya, Eric Daniel Depp, pernah memperdengarkan lagu yang dirakam kepada seorang kenalan muzik.


“Sebenarnya, projek ini dah pun bermula awal tahun lalu. Cuma, tak terbuat sebab saya takut dan tak ada keyakinan diri.

“Tapi, selepas puas berfikir, saya beranikan diri untuk ambil risiko dan sedia menggalas gelaran sebagai artis baru di negara orang,” katanya.

Lantaran itu, penyanyi berusia 40 tahun ini terus menyimpan hasrat menghasilkan dan memasarkan album ke negara terbabit.

Pun begitu, Nurul menyedari proses penghasilan album berkenaan bukan mudah lantas mengambilsedikit waktu untuk lebih mempersiapkan diri.

Katanya, dia mengambil masa selama empat bulan berkomunikasi dan bekerja dengan Kristen dan mengambil keputusan mempelajari bahasa Perancis dengan baik, termasuk aspek diksi dan intonasi.

Ujar Nurul Lagi, dia tidak mahu mengambil mudah perkara itu dengan menghadiri kelas bahasa Perancis, dua kali seminggu.

“Saya juga belajar membaca nota lagu dengan Cikgu Siti Hajar kerana Kristen juga sangat berpengalaman dalam muzik orkestra. Oleh itu, saya harus betul-betul bekerja keras untuk berada di tahapnya.

“Keseluruhannya, terdapat tujuh lagu termasuk satu lagu berbahasa Inggeris di dalam album ini,” katanya.

Bukan itu sahaja, penyanyi lagu Cinta Azali ini juga mengakui terpaksa mengorbankan waktunya yang kerap berulang-alik ke Perancis.

“Memang penat, sekali travel ambil masa 12 ke 13 jam dalam flight, tapi itulah, saya suka kerja saya.

“Nasib saya baik, suami dan anak-anak pun menyokong kerjaya saya,” kata ibu kepada Ayu Nazirah, Raphael Depp dan Zachary Depp ini.

Kagumi Anggun, Datuk Shake

Meskipun bimbang, Nurul bagaimanapun optimis dengan penerimaan masyarakat di Perancis terhadap albumnya itu.

Tambahan pula, katanya, industri muzik di Perancis lebih bersikap terbuka selain memiliki pasaran yang cukup luas.

Nurul juga membuat kajian dan rujukan terhadap kelahiran penyanyi popular Peranchis seperti Shy’m dan Kendji Girac.

“Saya dapati komposer di sana juga sangat menghormati penyanyi berusia kerana menyifatkan mereka lebih berpengalaman.

“Saya rasa, mentaliti itu juga perlu diubah oleh masyarakat, di sini. Kadang-kadang, saya sedih apabila ada sesetengah orang kita yang bersikap suka menghukum,” katanya.


Pun begitu, penyanyi Jadikan Aku Bintang ini sudah pun mempunyai strategi yang akan diguna pakai bagi memperkenalkan album Perancisnya itu.

“Saya percaya melalui viral (tular) di media sosial, ia dapat membantu penerimaan penggemar muzik di Perancis,” katanya.

Biarpun terlalu awal, pemilik nama sebenar Noorulhuda Abdul Wahab ini meletakkan harapan untuk berjaya seperti Anggun dan Datuk Shake yang menembusi sekali gus mencipta nama di Perancis.

“Saya baru saja nak mula, mereka dah di bulan, saya pula baru nak jejak bumi.

“Malah, mereka pun dah ada pasaran sendiri. Peminat di sana sangat hormat dengan mereka.

“Insya-ALLAH, perjalanan itu jauh lagi. Doa-doakanlah (ketawa),” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.