Berita Terkini
recent

Nilai kasih, sayang Hanis Zalikha, Nad Zainal

BERGELAR ibu merupakan suatu anugerah yang pastinya menjadi impian setiap wanita yang mendirikan rumah tangga. Apatah lagi menerusi kehadiran cahaya mata, ia boleh diibaratkan sebagai penyeri di dalam bahtera rumah tangga yang dibina bersama pasangan.

Bukan hanya sebagai rezeki, malah zuriat yang dianugerahkan tentunya membawa bahagia di dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Pada masa sama, kehadiran si kecil juga menjadi dorongan kuat buat si ibu dan bapa untuk menjadi lebih matang dan pada masa sama, cuba mencari ruang untuk terus komited di dalam kerjaya yang dibina.

Itulah situasi yang boleh disimpulkan buat dua rakan selebriti, Hanis Zalikha dan Nad Zainal yang pada awalnya akui, bukan suatu tugas mudah untuk membawa status sebagai ibu dan selebriti pada masa sama.

Sebaliknya, banyak komitmen dan pengorbanan perlu dilakukan bagi menjamin soal penjagaan anak dan kerjaya tidak terbengkalai. Semuanya perlu dirancang teliti agar semuanya berjalan dengan sempurna.


Didikan terbaik buat anak

Bagi mereka, mungkin sesetengah orang menilai status ‘ibu selebriti’ adalah satu gelaran yang ‘seronok’ untuk dipikul.

Hakikatnya, ia bukanlah mudah seperti disangka, apatah lagi anak masing-masing kini berada dalam fasa membesar yang tentunya memerlukan perhatian lebih daripada kedua orang tua. Paling utama, soal didikan terhadap anak pertama perlu dititikberatkan. Malah, perkembangan teknologi masa kini juga turut mencabar buat ibu dan bapa dalam mendidik anak-anak.


Terdahulu, pasangan dramatis ini turut berkesempatan berkongsi pengalaman menjaga anak sulungnya, Yusuf Iskandar di majlis Baby Wonderland Happikiddo di Quill City Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hanis, 27, memberitahu, dia mengakui sentiasa terbuka untuk mendedahkan pelbagai perkara baru buat anak lelakinya itu.

“Setiap ibu bapa tentunya mempunyai cara tersendiri di dalam mendidik anak-anak. Saya tidak pernah mempersoalkan atau menilai cara ibu bapa lain dalam konteks didikan terhadap anak-anak selagi ia tidak memberi kemudaratan pada anak. Sebab, mereka pasti ada tujuan dan pendirian tersendiri.

“Begitu juga dengan kami. Selagi tidak memberi impak negatif pada Yusuf, selagi itulah kami akan didiknya dengan cara kami sendiri,” kata Hanis jujur sambil disokong aktres, Nad Zainal.

Nad yang kini sudah membayangkan kehidupannya sudah lengkap sejak kelahiran anak sulung, Fahad Ibrahim lebih setahun lalu hasil perkahwinannya dengan Muhammad Faliq Amirudin, 29.

“Rasa seronok bila jadi ibu. Pengalaman pertama yang cukup menggembirakan. Rasa sudah lengkap kehidupan kami sekeluarga dan kehadiran Fahad adalah penyeri dalam kehidupan saya bersama suami. Cuma itulah, kadang-kadang saya terpaksa isi waktu yang sedikit bersama anak atas komitmen kerja.

“Bagaimanapun, bila perkara itu berlaku saya akan pastikan ambil masa sama ada cuti untuk beberapa waktu bagi mengisi masa bersama Fahad. Kena seimbangkan antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai ibu. Apa pun saya boleh dikatakan bertuah kerana jika ketiadaan saya di rumah atas tuntutan penggambaran, saya akan hantar ke rumah ibu untuk dijaga.

“Alhamdulillah, setakat ini semua berjalan dengan baik,” akui Nad yang turut menambah bergelar ibu moden pada hari ini lebih mencabar dek faktor semasa, khasnya soal gajet dan media sosial.

Manfaatkan gajet, media sosial

Diajukan persoalan mengenai hal tersebut, pelakon drama Dosa Perempuan itu agak bertegas di dalam soal memberikan gajet buat anak, terutamanya apabila makan.

“Zaman sekarang, untuk elakkan anak daripada merengek, pasti akan berikan gajet supaya anak kecil leka dengan apa yang ditontonnya. Bagi saya itu tidak menjadi masalah kerana masing-masing ada cara tersendiri untuk didik anak mereka.

“Pun demikian, saya dan suami tidak berapa galakkan anak isi masa terlalu lama dengan gajet kerana ia sedikit sebanyak boleh mempengaruhi, hingga tidak mahu berenggang dengan gajet. Misalnya untuk elak anak meragam ketika makan, sogokkan anak dengan gajet. Kalau boleh saya tidak mahu hal sedemikian terjadi pada Fahad.


“Bagi kami, lebih baik berikan mainan khusus buatnya. Itulah yang kami praktikkan dan mujur, Fahad boleh menerimanya. Bila usianya berada di fasa pra persekolahan, mungkin kami sedikit terbuka untuk dedahkan Fahad dengan gajet.

"Kami sedar pada perkembangan sekarang, kita juga tidak boleh menidakkan akan kepentingannya,” tambah ibu muda berusia 27 tahun ini yang nyata gembira dengan kehidupannya kini.

Sementara bagi Hanis, dia cuba memanfaatkan gajet dengan sebaik mungkin. Katanya, media sosial menjadi platform terbaik di dalam berkongsi dan mencari input berguna dalam soal menjaga anak.

“Sebagai seorang ibu yang baru mempunyai seorang cahaya mata, saya kerap bertanya mengenai cara mendidik, menjaga anak dengan betul daripada ibu, ibu mertua dan rakan-rakan lain yang berpengalaman. Di samping itu, saya juga kerap membaca di laman hal keibubapaan dan memuat turun aplikasi yang berkaitan. Ia lebih mudah dan senang untuk akses.

“Apabila usia Yusuf sudah hampir dua tahun, saya sedar kepentingan untuk berkongsi dan menjadikan pengalaman tersebut sebagai suatu hal menarik untuk dikongsi bersama ibu di luar sana. Sebab kadang-kadang kita mungkin akan lupa cara atau kaedah terbaik untuk jaga anak yang baru lahir.

"Jadi bila adanya media sosial, saya boleh cari balik apa yang ditulis menerusi jurnal dan kongsikan. Saya seronok bila dapat berkongsi pengalaman,” akuinya.

Hanis turut memberitahu, rakan-rakan juga turut banyak membantu. Mereka tahu dirinya gemar membaca dan ada yang hadiahkan buku penjagaan anak buatnya.

Dalam pada itu, pelakon dan pengacara itu juga tidak mempunyai cara spesifik di dalam soal mendidik anak lelakinya itu.

“Tiada sebarang kompromi atau target kami dalam jaga Yusuf. Memadai sekadar dia akan menjadi anak yang baik, sayangkan bintang dan jadi abang yang baik buat adik-adik yang lain, insya-ALLAH. Itulah harapan dan doa kami buat Yusuf.

“Setiap ibu bapa mempunyai rasa tanggungjawab untuk menjaga amanah dari-Nya ini. Jadi sudah tentunya kita para ibu bapa mengharapkan yang terbaik menerusi didikan yang telah diberikan buat anak,” akhiri Nad sambil dipersetujui Hanis.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.