Berita Terkini
recent

'Nak habiskan kerja dulu'

Walaupun mengalami kesakitan yang disifatkannya ‘teramat sangat’, pelakon Nabila Huda Suhaimi, 32, meneruskan juga penggambaran drama terbaru lakonannya, Dendam Aurora kerana tidak mahu menyusahkan kru produksi.

Bagaimanapun, pada 24 Oktober lalu, Nabila akhirnya mengalah apabila dikejarkan ke hospital akibat kesakitan di bahagian pangkal paha.

Selepas melakukan Pengimejan Resonan Magnet atau MRI, keputusan menunjukkan Nabila mengalami kecederaan tulang belakang dan otot lutut pula terkoyak.

Ditemui baru-baru ini, Nabila tidak menafikan kesakitan dialami dipercayai berpunca daripada kesan kecederaan akibat kemalangan yang pernah menimpanya pada 2013.

Katanya, ketika kemalangan itu kenderaan dipandu pelakon Syazwan Zulkifli dan dinaiki Nabila bersama anaknya, Keisha Laila, 3, terbabas di Kilometer 71 Lebuh Raya Kuantan-Karak, Bentong.

Nabila cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dinaiki terbabas dan dia tidak melakukan rawatan susulan dan terus bekerja seperti biasa.

“Saya rasa kesakitan yang dialami sekarang kesan daripada kemalangan lalu. Apatah lagi keputusan daripada MRI menunjukkan saya mengalami kecederaan tulang belakang dan otot lutut pula terkoyak.

“Ia tambah serius apabila saya terjatuh dalam keadaan tangan dan kaki terikat ketika babak hendak diletakkan dalam but kereta untuk drama Dendam Aurora.

“Saya sedar kecederaan tulang belakang memang bahaya. Salah satu tulang di bahagian itu dikatakan sudah terkeluar,” katanya.

Selain itu, Nabila juga akui kecederaan dialami bertambah serius kerana melakukan aktiviti pendakian ke puncak Annapura, Nepal pada awal Oktober lalu.

Katanya, ia dipercayai turut menyumbang kepada kesakitan dialami. Pada pendakian pertama kali dilakukan dalam sejarah hidupnya, Nabila terjatuh beberapa kali kerana laluan yang licin dan kepenatan.

Pada masa ini dia sibuk dengan penggambaran drama Dendam Aurora dan sesi promosi filem terbaru, Rempit Sampai Langit.

“Apabila dapat tahu pasal kecederaan itu, saya masih rasa tidak tahu nak buat apa sebab belum pernah kena. Cuma risau sebab terlalu sakit.

“Sekarang pun saya berlagak seolah-olah tidak sakit dan kekal positif. Saya masih jalankan tugas seperti biasa tapi tahu diri sedang menahan sakit. Saya tidak mahu murung sebab nak habiskan kerja terlebih dulu,” katanya.

Kata Nabila, selepas segala urusan selesai barulah dia mahu berehat sebaik-baiknya. Sebelum itu, dia juga ingin melakukan pemeriksaan penuh seluruh badan di pusat kesihatan kerana mahu tahu lebih lanjut kesakitan lain yang mungkin ada.

Apatah lagi selain mengalami sakit kaki dan tulang belakang, kedua-dua tangannya turut mengalami rasa kebas.

Katanya, buat masa ini dia tidak melakukan sebarang rawatan susulan atau mengambil ubat tahan sakit kerana percaya tubuhnya masih mampu mengatasi rasa sakit dialami setakat ini.

Namun, jauh dalam sudut hati, dia risau jika kesakitan dan kecederaan dialami boleh menyebabkan kelumpuhan. Lantas menyebabkan dia tidak dapat lagi bekerja seperti biasa.

“Walau apa sekali pun, saya nak kerja macam biasa terlebih dulu.

Habis nanti barulah saya selesaikan bab rawatan, fisioterapi atau urutan.

“Suami juga risau dan selalu ingatkan saya supaya jaga kesihatan. Masakan tidak, saya sering mengadu kepadanya pasal sakit pinggang, kaki dan sebagainya,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.