Berita Terkini
recent

Nadia Aqilah sentiasa cabar diri

MAHU mencari kelainan dalam melengkapkan perjalanan kerjaya seninya, pelakon dan penyanyi Nadia Aqilah sentiasa mencabar dirinya untuk melakukan sesuatu yang baru bagi menguji kemampuannya.

Lebih sedekad bertahan dalam industri, Nadia tidak pernah mengambil mudah dengan setiap cabaran yang diberikan kepadanya, malahan pelakon yang cukup sinonim dengan pentas muzikal ini sentiasa tampil dengan hasil kerja terbaiknya.

Mungkin kerana prinsip itulah, Nadia sering mendapat perhatian pihak produksi meskipun populariti tidak menyebelahi dirinya secara total.

Terbaru, nama Nadia menjadi pilihan pertama produksi Pipe, milik Pat Ibrahim dalam pementasan bangsawan, Dendam Laksamana yang dipentaskan di Auditorium DBKL pada10-12 November di Auditorium DBKL.

“Ini merupakan persembahan bangsawan pertama yang saya terlibat dan tentunya ia memberi cabaran baru dalam kerja lakonan saya.

“Mungkin ada yang melihat ia mudah buat saya kerana lakonan pentas bukanlah sesuatu yang asing kerana saya sudah terlibat dengan pelbagai pementasan teater sebelum ini.

“Namun lakonan dalam bangsawan sebenarnya sangat berbeza dan saya perlu membuat pelbagai persediaan sebelum masuk pentas menerusi sesi latihan yang berterusan untuk memastikan apa yang berikan di pentas memenuhi kehendak naskhah,” ujarnya yang cukup terkenal dengan sikap merendah dirinya.

Pada masa sama, Nadia tidak menafikan menerima tawaran ini juga kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk bekerjasama dengan Pat Ibrahim yang mula dikenalinya ketika terlibat dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (2006).

“Dari awal saya terlibat dalam dunia pementasan, Pat adalah antara individu yang banyak membantu malah sentiasa mencabar saya untuk melakukan sesuatu yang berbeza daripada apa yang saya pernah lakukan.

“Saya senang bekerja dengan Pat, namun itu tidak bermakna saya boleh mengambil kesempatan, sebaliknya cuba memberikan yang terbaik untuk membalas balik kepercayaannya,” katanya yang memegang watak Wan Anum.

Nadia sebelum ini pernah terlibat dalam teater Puteri Gunung Ledang The Musical, P Ramlee The Musical, Cinta The Musical, Terima Kasih Cinta, Chow Kit Road The Musical, Sekuntum Mawar Merah, Mencari Sumaiyah dan lain-lain.

Bantu pelajar

Melihatkan profil dan pengalamannya di pentas, ada sesetengah pihak yang takut untuk memberi tawaran kepada Nadia membuat penampilan di pentas kecil.

“Memang perkara itu sering berlaku kerana mereka beranggapan saya tidak akan berminat dengan pentas kecil kerana sudah terbiasa dengan lakonan di pentas besar seperti Istana Budaya sedangkan saya tidak pernah terfikir tentang itu.

“Saya tidak pernah kisah tentang ruang, namun apa yang lebih penting adalah naskhahnya bagus dan team tersebut mempunyai visi yang solid dalam kerja yang mereka lakukan agar kita sama-sama dapat bekerja dengan baik dan sempurna.

“Misalnya baru-baru saya ada terlibat dengan sebuah pementasan berskala kecil menerusi teater Samar yang diadakan di Make Space, Quill City Mall dan saya sangat sukakan naskhah tersebut yang tampil dengan kelainan dan menguji kemampuan lakonan saya,” katanya.

Prinsip sama turut diamalkan Nadia untuk tawaran drama TV mahupun filem yang menyaksikan dia sentiasa bereksperimen dengan dirinya untuk mendapatkan hasil yang baik demi kepuasan diri sendiri.

“Cara bekerja dulu dan sekarang dah makin berubah, jadi sebagai pelakon kita harus pandai menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku agar kualiti kerja sentiasa terjaga meski berdepan dengan pelbagai kekangan.

“Misalnya berbanding dulu, tak banyak produksi sekarang yang nak buat sesi script reading atau beberapa sebab, jadi kita sendirilah yang kena cari inisiatif lain untuk membuat persediaan sebelum ke set.

“Mungkin ada sesetengah pihak yang tidak kisah tentang itu, tetapi untuk saya persediaan sangat penting untuk memastikan apa yang dilakukan itu memberikan hasil yang terbaik,” katanya yang baru sahaja tampil dengan filem terbaru lakonannya, Haunted Hotel.

Berkongsi perkembangan terbarunya, kata Nadia, sebaik sahaja selesai pementasan Bangsawan Dendam Laksamana, dia akan terus masuk ke set penggambaran sebuah telefilem.

“Sebenarnya jadual kerja saya bersambungan dalam beberapa bulan ini sehinggakan saya tidak sempat untuk mengatur rehat yang secukupnya kerana komitmen kerja berterusan.

“Apa pun, saya tidak pernah mengeluh kerana apa yang saya lakukan ini adalah pilihan saya dan secara kebetulan tawaran-tawaran kerja yang bagus-bagus datang secara bersambungan.

“Malah sebelum terlibat dalam bangsawan ini juga, selama sebulan saya terikat dengan persiapan program Citrawarna 2017 yang berlangsung di Dataran Merdeka baru-baru ini menerusi segmen muzikalnya,” katanya yang cukup versatil ini.

Meskipun sibuk dengan aktiviti seninya, Nadia mengakui sesekali masih sempat meluangkan masanya untuk memenuhi jemputan para pelajar yang ingin bekerjasama dengannya menerusi projek latihan mereka.

“Jika tidak terikat dengan jadual kerja, saya tidak menolak jika diminta untuk bekerjasama dengan pelajar untuk membantu mereka menyiapkan projek seni mereka.

“Saya tahu mereka takut nak panggil saya kerana bayaran dan sebagainya, namun apa yang boleh saya katakana jika mereka datang kepada saya dengan cara dan tujuan yang betul saya tidak ada masalah untuk membantu setakat yang saya mampu.

“Malah saya pernah memenuhi undangan sekumpulan pelajar UiTM untuk berkongsi pengalaman kerja saya dalam bidang seni dan sebagainya,” katanya yang turut menghiasi muzik video Jangan Kau Jauh dari pendatang baru, Shafiq Erwin.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.