Berita Terkini
recent

Muahciked: Jangan sesekali abaikan pelajaran

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca yang dikasihi. Diharapkan hari minggu ini membawa seribu satu keceriaan buat kalian semua.

Demam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah bermula, harap semua adik-adik yang menduduki ujian tidur lena.

Seramai 443,883 calon di seluruh negara sudah memulakan peperiksaan SPM pada 7 November lalu. Peperiksaan diadakan di 3,363 pusat peperiksaan, dijadualkan berlangsung sehingga 4 Disember ini.

Tidak dinafikan, peperiksaan ini adalah yang terpenting dalam negara kita bagi menentukan hala tuju golongan belia generasi bangsa selepas ini.

Sama ada meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara atau beralih ke bidang teknikal serta vokasional atau memasuki alam pekerjaan.

Apa yang pasti, debaran menghadapi SPM ini bukan saja dirasai oleh pelajar tetapi ibu bapa turut sama ‘cuak’.

Barangkali mereka bimbang dengan masa depan anak masing-masing dan pada masa sama, mengharapkan yang terbaik.

Maklum sajalah, ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anak mereka berjaya kan? Semua ibu bapa mahukannya.

Bercerita mengenai kenangan ketika mengambil SPM pada 2009, adik dari awal sudah membuat persiapan rapi kerana adik memang tidak boleh mengulang kaji pelajaran di saat-saat akhir.

Bukan awal tingkatan lima, malah persediaan sudah adik buat sejak tingkatan empat lagi kerana soalan yang akan masuk dalam SPM merangkumi subjek pembelajaran dari tingkatan empat.

Percaya atau tidak, setiap apa yang ‘disumbat’ dalam otak pada saat akhir sudah pasti sukar untuk dihadam dengan mudah.

Terutama membaca buku teks di saat akhir bukan satu kaedah yang berkesan. Justeru, adik akan membaca setiap nota yang ditulis ketika mempelajari setiap bab dan memahaminya.

Jadi siapa yang tidak membuat nota ringkas ketika guru mengajar sejak di tingkatan empat, memang akan rugi.

Justeru, sementara menunggu baki mata pelajaran yang belum dijawab, apa kata gunakan masa yang singkat ini untuk membuat nota ringkas dan belajar berkumpulan.

Caranya setiap pelajar yang terbabit dalam kumpulan dimaklumkan awal topik atau bab yang mahu dibincang atau membacanya dahulu termasuk menyenaraikan setiap perkara yang mereka tidak tahu atau tidak faham.

Kemudian secara bergilir-gilir setiap pelajar melontarkan permasalahan dalam topik atau bab tertentu dan rakan lain pula membantu memberikannya kefahaman serta menyelesaikannya.

Dengan cara itu masalah selesai dan semua berpuas hati. Adik percaya, mungkin ada soalan atau maklumat penting tidak difahami tetapi kawan lain faham. Malah, tak salah untuk berkongsi ilmu bukan?

Bercerita mengenai keputusan SPM, adik bersyukur apabila memperoleh 4A dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

Adik memang suka mengarang dan membaca lebih-lebih lagi sejarah. Kalau dalam ujian di sekolah dulu, markah adik kalau kurang mesti akan tanya kepada guru apa kesalahannya kerana tak mahu lakukan kesilapan berulang.

Adik ingin ingatkan SPM adalah penentu hala tuju kita. Jangan sia-siakan peperiksaan ini.

Walau ada yang berminat nak jadi selebriti jangan sesekali abaikan pelajaran. Adik doakan yang terbaik dan jangan gementar ketika menjawab serta yakin dengan jawapan diberikan.

Adik juga ingin berpesan jangan segan meminta ibu bapa mendoakan kejayaan anda walaupun pada setiap masa semua orang tua pasti mendoakan kebaikan serta kejayaan buat anak mereka.

Sentiasa minta restu ibu bapa, memohon maaf kepada sesiapa yang pernah kita terguriskan hati mereka dan memaafkan mereka yang pernah sakitkan hati kita. Bukan tunggu hari raya saja perlu minta maaf.

Sementara itu, baru-baru ini, adik berpeluang ke Kota Kinabalu, Sabah untuk menghadiri majlis pelancaran Tonton di AirAsia di mana penumpang yang menaiki kapal terbang kini boleh menonton pelbagai rancangan menarik secara percuma hanya dengan melayari laman sesawang www.rokki.com di peranti mudah alih mereka.

Sebagai duta kepada Tonton, adik berasa teruja kerana selepas ini adik boleh menonton drama atau berhubung bersama peminat di laman sosial ketika menaiki kapal terbang.

Barulah hidup rasa lebih wow dan bermakna kerana boleh berkomunikasi di mana saja anda berada! Hihi.

Kerjasama ini adalah satu pengalaman baru di mana sebelum ini setiap kali menaiki kapal terbang, adik biasanya akan habiskan masa dengan tidur apabila perjalanan dalam tempoh yang lama.

Sekarang walapun berada dalam kapal terbang di paras ketinggian 10,000 kaki, adik masih boleh melayari Internet sambil menonton program diminati sehingga sampai ke destinasi.

Tahniah adik ucapkan kepada Tonton dan Air Asia. Semoga kerjasama ini berjaya dan terus berkembang. Selain itu, adik nampak peluang selebriti Malaysia untuk dikenali oleh pelancong yang menaiki kapal terbang Air Asia amat cerah.

Apa pun, jangan lupa guna wifi Rokki dan klik Tonton dalam kapal terbang pasti terus boleh menonton pelbagai drama menarik karya tempatan. Terima kasih Tonton! #DebaranSPM
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.