Berita Terkini
recent

Misai Cavill terpaksa disorok

Tahun ini pawagam meriah dengan tayangan lebih 10 filem adiwira terkenal.

Khamis depan, filem Justice League yang menghimpunkan barisan adiwira kegemaraan peminat DC Comics bakal mengegarkan pawagam seluruh negara.

Filem arahan Zack Snyder itu menggabungkan Batman, Superman, Wonder Woman, Flash, Aquaman dan Cybrog bagi membentuk kumpulan Justice League.

Ia kesinambungan kejadian dalam filem Batman v Superman: Dawn of Justice yang menjadi inspirasi kepada Bruce Wayne dan Diana Prince untuk menubuhkan sebuah kumpulan manusia luar biasa.

Kali ini, manusia bakal berdepan ancaman daripada kehadiran Steppenwolf dan tenteranya di bumi untuk menjejaki tiga objek Mother Boxes.

Barisan pelakon adalah Ben Affleck, Henry Cavill, Amy Adams, Gal Gadot, Ezra Miller, Jason Momoa, Ray Fisher, Jeremy Irons, Diane Lane, Connie Nielsen dan JK Simmons.

Dalam temu bual baru-baru ini, Cavill berkongsi beberapa maklumat menarik pengalamannya kembali sebagai Superman dalam filem ini.

Pelakon Inggeris itu berkata, produksi terpaksa melakukan beberapa proses bagi ‘menyorok’ misainya ketika penggambaran semula beberapa babak.

Menurutnya, pada masa sama, dia turut terbabit dalam penggambaran filem Mission Impossible 6 (MI6) yang wataknya mempunyai misai.

“Misai saya ditutup menggunakan bahan lilin dan beberapa bahagian muka dilukis banyak titik kecil bagi teknik kesan khas komputer,” katanya.

Beberapa gambar di sebalik tabir MI6 memaparkan Cavill berminat dikongsi di media sosial pada Jun lalu.

Pada mulanya, pelakon itu menyangka penggambaran MI6 akan selesai awal namun, jadual penggambaran Justice League diubah semula selepas Snyder meninggalkan produksi atas sebab peribadi.

Situasi itu menyebabkan Cavill terpaksa berulang-alik ke dua lokasi berbeza untuk penggambaran MI6 dan Justice League.

Difahamkan penggambaran semula beberapa babak Justice League di bawah arahan Joss Whedon lebih lama dari dijangkakan.

Bukan adiwira kegemaran anak

Sementara itu, dalam temu bual berasingan, Affleck mendedahkan anak perempuannya, Violet, 11, kurang menggemari dia membintangi watak Batman.

“Anak perempuan sulung saya menganggap watak itu memalukannya. Saya ada bertanya kenapa dia berasa demikian kerana saya adalah Batman. Dia menjawab dengan meminta menjemputnya di lokasi lain,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu memberitahu dua anak perempuannya, Violet dan Seraphina sebaliknya lebih tertarik dengan Wonder Woman ketika mereka melawatnya di set penggambaran.

“Mereka sangat meminati Wonder Woman. Pada mulanya, saya ingat mereka suka Batman,” katanya.

Bagi anak bongsunya, Sam, Affleck berkata, kanak-kanak berusia lima tahun itu menjadi segan apabila dibawa bertemu dengan pelakon The Flash, Miller.

“Sam berjumpa Miller ketika memakai kostum The Flash dan reaksinya seperti ternampak Tuhan,” katanya.

Bagi anak perempuan Gadot, Alma pula, pelakon itu memberitahu kanak-kanak berkenaan adalah peminat tegar Batman dan seronok mengetahui identiti sebenar adiwira itu.

“Anak saya enggan panggil Affleck sebagai Batman sebaliknya memanggilnya Ben. Ini kerana dia rasa seronok dapat memanggil Batman dengan nama sebenarnya,” katanya.

Baru-baru ini, produksi Warner Bros mengumumkan sekuel Justice League akan dikeluarkan pada June 2019, namun menangguhkan tarikh tayangannya dulu bagi memberi laluan kepada pembikinan filem Batman.

Produser Charles Roven kemudian mengumumkan Snyder bakal kembali sebagai pengarah sekuel itu.

Filem Justice League dijangka mencecah jualan tiket antara RM465.14 juta dan RM507.42 juta pada minggu pertama tayangan.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.