Berita Terkini
recent

Mencari tiga terbaik

Sebanyak 22 kumpulan mewakili penggiat teater, syarikat seni, aktivis teater institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Kuala Lumpur serta Selangor bersaing dalam Festival Teater Kuala Lumpur dan Selangor 2017 (FTKLS 2017) di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur (JKKN) Jalan Tun HS Lee bermula pada 19 Oktober lalu hingga hari ini.

FTKLS 2017 anjuran JKKN Kuala Lumpur dan Selangor dengan kerjasama Persatuan Teratak Seni Budaya, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Teater Malaysia (PTM) dan Majlis Teater Selangor (MTS) akan mencari enam pemenang iaitu tiga wakil dari Kuala Lumpur dan tiga dari Selangor untuk disenaraikan dalam kelompok enam kumpulan terbaik bagi menghadapi pertandingan peringkat kebangsaan tahun depan.

Pencarian pemenang pertama hingga ketiga akan diumumkan pada majlis Malam Gala Penutup yang akan dilakukan Ketua Pengarah JKKN Tan Sri Norliza Rofli serta barisan artis terkenal tempatan di Auditorium Kompleks JKKN malam esok.

Tahun ini juga menyaksikan JKKN WPKL dan JKKN Selangor, berjaya melakar sejarah kerana buat julung kalinya bergabung untuk melaksanakan festival teater secara bersama.

Norliza berkata, FTKLS 2017 diadakan bermatlamat untuk menyediakan ruang kepada kumpulan teater negeri mempamer dan meningkatkan mutu persembahan.

“Selain itu, ia juga mampu menyemarak, memasyarakat dan membangunkan teater. Medium teater juga boleh digunakan bagi memartabat dan merakyatkan teater ke arah pembangunan masyarakat dan membina jati diri bangsa Malaysia.

“Diharapkan menerusi hasil gabungan kedua-dua negeri ini yang menghimpunkan 22 kumpulan teater yang bertanding, akan menjadikan ia sebagai platform terbaik dan berkesan kepada penggiat/pemain industri seni teater sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Menurutnya, bukan saja melalui semangat pertandingan, malah penyemarakan dan pembudayaan seni teater dalam kalangan masyarakat dan generasi muda pada masa kini akan dapat disebarluaskan menerusi festival sedemikian.

“Program ini dapat melahirkan kumpulan teater yang bermutu di samping dapat mewujudkan khalayak baharu dalam industri teater, seni dan budaya. Juga dapat mewujudkan jalinan pintar antara badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan dan dapat mewujudkan bank skrip teater,” katanya.

Barisan juri yang membuat penjurian untuk pertandingan membabitkan peserta dari Kuala Lumpur ialah pengarah, Mior Hashim Manap, pelakon Zuhairi Ibrahim dan pensyarah teater Jamaluddin Md Nor.

Manakala barisan juri yang terbabit untuk Selangor ialah pensyarah teater Mohd Diani Kasian, aktivis teater Badrul Zaman Abdul Jalil dan pengarah teater Khusiary Effendy Mahayuddin.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.