Berita Terkini
recent

Mawi seronok jadi penyampai radio

DALAM diam, penyanyi dan pelakon popular, Mawi menyimpan impian untuk bergelar penyampai radio, sejak 12 tahun lalu.

Tambahan pula, selebriti berusia 36 tahun ini pernah menjadi deejay di sebuah pasar raya di Johor Bahru selama empat tahun, sebelum bergelar anak seni.

Bahkan, Mawi juga aktif di majlis perkahwinan dan menjadi pilihan setiap kali ada kenduri.

Bukan itu sahaja, katanya, penyertaannya dalam program realiti, Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) kerana melihat kepada peluang tersebut.

“Sebenarnya, saya minat jadi deejay dari dulu lagi. Lagipun itu memang kerja saya. Saya masuk AF3 pun sebab lihat ada peluang jadi deejay.


“Saya tak pernah letak target nak jadi penyanyi sebab itu hanya sekadar hobi,” katanya kepada Sinar Harian.

Kini, pemilik nama sebenar Asmawi Ani ini bergelar penyampai radio Zayan sejak dua bulan lalu dan menganggap doanya sudah termakbul.

Pelantun lagu Kian ini berganding dengan Anas Tahir melalui program Salam Bros, bermula jam 6 hingga 10 pagi, setiap Isnin hingga Jumaat.

“Apa yang saya boleh cakapkan, saya sedang seronok dan ghairah melakukannya,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pengalaman lalu turut membantunya membuang perasaan gemuruh dan kekok ketika di dalam konti, tambahan pula bukan mudah 'berhadapan' atau meyakinkan pendengar untuk terus berada di sisi radio.

Kata Mawi, setiap hari dia perlu berfikir mengenai perkara menarik untuk diketengahkan selain ada rakan setugas bersama.

Pun begitu, Mawi sedar pengalaman bekerja di pasar raya dan di dalam konti adalah dua perkara berbeza.

Justeru, sebagai orang baru dalam dunia penyiaran radio, penyanyi lagu Kalah Dalam Menang ini bersedia belajar dari bawah.

“Kalau di pasar raya, saya akan sebut ulang benda yang sama setiap hari bagi mempromosikan produk yang dijual.

“Tapi, bila di radio, perlu tampilkan sesuatu yang segar, dan sentiasa mencari bahan baru dan terkini demi menarik minat pendengar,” katanya.


Pada masa sama, pelantun lagu Aduh Saliha ini juga menyedari risiko apabila ada sesetengah stesen radio tidak akan memainkan lagu-lagunya, selepas ini.

“Itu saya dah fikir awal dah, saya dah tahu itu risikonya. Tak mengapa. Mungkin ada rezeki lain di radio lain nanti,” katanya optimis.

Selain Mawi dan Anas, Zayan yang menggunakan frenkuensi 104.9fm di Lembah Klang turut diterajui tiga deejay yang lain iaitu Raqib, Lin Ariffin dan Falyq.

Dalam perkembangan lain, Mawi baru muncul dengan lagu terbarunya, Sang Pencipta Kasih duet bersama Daly Filsuf.

“Lagu itu menceritakan mengenai manusia yang berdialog dengan Tuhannya melalui doa. Suara hari kita pada pencipta, “

Selain itu, Mawi juga bakal tampil dalm filem terbarunya, Munafik 2 yang sedang dalam proses suntingan.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.