Berita Terkini
recent

Masih wujud dalam industri

Keberkesanan lirik Suci Dalam Debu, Kekasih Awal Dan Akhir, Di Balik Cermin Mimpi, Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Penghujung Rindu, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Teratai Layu Di Tasik Madu dan ratusan lagi lagu menyebabkan ramai peminat merindui sentuhan S Amin Shahab.

Bagi mereka, lirik ciptaan Amin atau Syed Mohd Amin Syed Hashim Al Shahab, 63, bukan saja mempunyai bahasa yang indah dan puitis malah membawa maksud sangat mendalam.

Namun, sejak industri muzik negara mengalami zaman suram, nama Amin turut pudar sehingga ramai tertanya-tanya ke manakah menghilangnya penulis lirik itu?

Figura yang menghasil­kan kira-kira 1,000 lirik untuk artis terkenal seperti Search, Wings, Alleycats, Damasutra, Datuk M Nasir dan Datuk Jamal Abdillah kini seolah-olah merajuk serta menyisih dari industri muzik.

Bagaimanapun, Amin yang ditemui baru-baru ini menidakkan tanggapan itu sambil menyatakan dia masih wujud dalam industri walaupun tidak seaktif dahulu.

Katanya, dia baru saja menyiapkan lirik Jubah Pengantin untuk Search dan menyediakan dua lagu bercorak ketuhanan untuk penyanyi baru Singapura, Tizi.

“Kalau dulu saya menghasilkan ratusan lirik setahun, sekarang mungkin hanya dua atau tiga. Sebab itu ramai yang tidak sedar saya masih wujud dalam industri.

“Ramai peminat bertanya mengapa tidak tulis lirik dan apa saya buat sekarang? Mereka suruh saya buat lirik kerana suka lirik ciptaan saya.

“Soalnya bukan tidak mahu buat tapi keadaan sekarang meletakkan saya dalam situasi sebegini. Saya menulis lirik apabila ada permintaan daripada penyanyi atau syarikat rakaman.

“Jika mereka minta, saya buat. Jika tidak, saya duduk diam-diam kerana bukan sifat saya untuk meminta-minta,” katanya.

Amin berkata ledakan teknologi dan keadaan ekonomi menjadi penyebab mengapa industri muzik di negara ini makin suram sehingga menjejaskan penggiat seni sepertinya.

“Dulu syarikat rakaman berlumba-lumba mengeluarkan album sehingga boleh dikatakan setiap bulan ada saja album baru dilancarkan. Malah ada album yang berjaya dijual lebih 100,000 unit.

“Ia secara tidak langsung memberi rezeki kepada penulis lirik seperti saya. Pernah dalam satu album terdapat 10 lirik saya.

“Tapi keadaan berubah ekoran ledakan teknologi menyebabkan penghasilan album tidak lagi relevan. Peminat sekarang boleh memuat turun lagu secara percuma melalui pelbagai kaedah.

“Sebab itu penyanyi sekarang hanya menghasilkan single untuk bertahan dalam industri. Kebanyakan pe­nyanyi muda pula lebih suka menghasilkan lagu dan lirik sendiri untuk menjimatkan kos,” katanya.

Walaupun mengakui keadaan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada dirinya, Amin berkata, dia akan meneruskan kehidupannya dengan mengikut arus.

Minat kumpul keris

Apabila banyak masa terluang, bapa tiga anak, Sharifah Nur Aisyah, Sharifah Nur Atiqah dan Sharifah Nur Anisah hasil perkongsian hidup dengan Junaidah Johari, kini menemui minat baru bagi mengisi masa terluang.

Katanya, dia kini mengumpul keris sebagai koleksi. Pada awalnya sekadar suka-suka namun lama-kelamaan semakin asyik dengan hobi barunya itu.

“Minat saya mengumpul keris bermula pada 1996 apabila seorang guru silat dari Kedah, Tok Awang menghadiahkan dua bilah keris. Sejak itu saya jatuh cinta kepada keris dan mengumpul sedikit demi sedikit.

“Sesuatu yang menarik, jiwa saya sangat tenang apabila berinteraksi dengan keris ini. Walaupun ia sekadar besi dan tidak boleh berkata-kata, saya rasa ia mempunyai jiwa dan seolah-olah mampu memahami apa saya katakan.

“Kadang-kadang, berjam-jam saya duduk menghadap keris ini, ia sungguh mengasyikkan. Sambil mengelap atau mencuci keris ini, saya ‘berbual-bual’ dengan ‘mereka’. Kalau orang tengok saya bercakap seorang diri, mungkin orang akan anggap saya sudah tidak siuman,” katanya.

Keseronokan mengumpul keris menyebabkan Amin sanggup menjelajah ke seluruh pelosok Malaysia dan Nusantara untuk mendapatkannya. Apatah lagi sekarang dia mempunyai banyak masa terluang.

Dia kini memiliki kira-kira 100 bilah keris sama ada dibeli atau ditukar suka sama suka dengan rakan sealiran. Ada ketika dia menukarkan dengan lukisan hasil karyanya.

Katanya, harga keris mengikut pelbagai kategori daripada serendah RM100 hingga ribuan ringgit. Setakat ini, keris paling mahal dimiliki Amin bernilai RM12,000.

“Kini saya rasa minat mengumpul keris bukan lagi hobi tapi sudah menjadi tanggungjawab bagi mengekalkan warisan Melayu.

“Melayu tidak akan hilang di dunia. Itu kata-kata hikmat Laksamana Hang Tuah. Tapi, tidak mustahil keris akan hilang di dunia jika kita tidak menjaganya sedangkan ia lambang kepahlawanan orang Melayu,” katanya.

Selain itu, Amin masih meneruskan minatnya dalam lukisan dan berusaha untuk menyiapkan lukisan sepanjang satu kilometer di Balai Seni Lukis Negara bertemakan ‘One World In One Kilometer’.

Cuma katanya, pada usia mencecah 63 tahun, kudratnya semakin terbatas menyebabkan projek lukisan itu yang sudah lama dimulakan kerap tertangguh.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.