Berita Terkini
recent

Mardiana tak pernah kecewa

Barangkali namanya lebih dikenali di pentas teater berbanding di kaca televisyen.

Namun, hakikatnya pelakon Mardiana Alwi, 29, banyak membintangi drama sejak sedekad lalu.

“Memang saya bermula di pentas teater tetapi pada masa sama turut mendapat tawaran berlakon drama daripada pelbagai produksi.

“Saya juga lebih dikenali peminat selepas menjayakan watak Ratna, pembantu peribadi Tuan Ihsan dalam drama bersiri popular Isteri Tuan Ihsan dan Akadku Yang Terakhir yang bersiaran di saluran Astro sebelum ini,” katanya.

Ditanya soal populariti pula, kata Mardiana, dia mengakui populariti bukanlah menjadi keutamaannya ketika ini.

“Saya tidak pernah berasa kecewa meskipun belum berada dalam kalangan kelompok artis popular.

“Sebaliknya, saya sentiasa reda dan bersyukur dengan apa yang dikecapi sekarang.

“Pada masa sama, saya juga percaya kualiti kerja menjadi pengukur seseorang artis dalam industri seni tanah air,” katanya.

Mengulas dirinya lebih dikenali di pentas teater, Mardiana bersyukur kerana baginya bukan mudah untuk bergelar pelakon teater.

“Pelakon teater perlu mempelajari dulu ilmu lakonan pentas sebelum bergelar pelakon.

“Pelakon drama pula tidak perlu melontarkan vokal dengan teknik, tidak perlu membuat gerak yang besar dan tidak perlu memberikan emosi kuat dalam lakonan.

“Mereka banyak dibantu kamera (sinematografi),” katanya.

Selepas Bahara Emas, Mardiana bakal beraksi sebagai Pak Yong dalam Teater Makyong Titis Sakti arahan Dr Norzizi Zulkifli yang akan dipentaskan pada 27 Januari hingga 4 Februari tahun depan di Pentas 1, KLPac.

Belum ada rezeki cahaya mata

Selepas dua tahun berkahwin, Mardiana mengakui rumah tangganya bahagia walaupun belum diserikan dengan kehadiran cahaya mata.

“Alhamdulillah, saya sangat bahagia dan bersyukur mendapat suami yang sangat memahami, bertolak ansur dan sentiasa menjadi penyokong setia dari belakang.

“Dari awal membuat keputusan untuk berkahwin, saya memang sudah bersedia memikul tanggungjwab sebagai ibu,” katanya.

Ditanya soal anak pula, kata Mardiana, dia juga hanya menyerahkan perkara itu pada ketentuan Allah.

“Soal berapa anak, saya dan suami tidak kisah, hanya serahkan segala-galanya kepada Allah,” katanya.

Mardiana mendirikan rumah tangga dengan jurutera, Abdul Aziz Rahamat, 35, pada November 2015.

Selepas berumah tangga dan berhijab, kata Mardiana, dia juga meletakkan syarat tertentu dalam bidang lakonan.

“Saya menolak babak bersentuhan dalam lakonan dan setakat ini tiada isu saya tidak mendapat tawaran berlakon apabila meletakkan syarat sedemikian.

“Saya juga berpegang pada prinsip, perlu selektif untuk memastikan kerjaya seni sentiasa berada di landasan yang betul.

“Soal watak pula, saya impi yang dapat memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya.

Antara lakonannya yang menanti tayangan adalah drama bersiri Tasbih Rindu lakonan Shah Jaszle dan Josiah Hogan terbitan NHF Production untuk siaran RTM.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.