Berita Terkini
recent

Mahkamah Keadilan, Amy Sofia terbaik

Satu kejayaan manis buat kumpulan Tronoh Theatre Shop Kuala Lumpur apabila teater mereka, Mahkamah Keadilan arahan Dr Shark dinobatkan juara Festival Teater Kuala Lumpur 2017, baru-baru ini.

Kumpulan Puteh Pro pula meraih gelaran juara Festival Teater Selangor 2017 menerusi Amy Sofia arahan Amirul Shafiq.

Festival Teater Kuala Lumpur & Selangor 2017 (FTKLS 2017) yang pertama kali menggabungkan JKKN Kuala Lumpur dan JKKN Selangor serta mendapat kerjasama Persatuan Teratak Seni Budaya, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Teater Malaysia (PTM) dan Majlis Teater Selangor (MTS) di Auditorium JKKN, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak 19 Oktober hingga 11 November lalu.

Kedua-dua pemenang ini mengetepikan cabaran 10 kumpulan lain dari Kuala Lumpur dan Selangor yang turut memberikan saingan sengit.

Mahkamah Keadilan yang menampilkan tema kritikan sosial turut merangkul trofi Sinografi Terbaik Festival Teater Kuala Lumpur.


TRONOH Theatre Shop Kuala Lumpur juara Festival Teater Kuala Lumpur 2017.
Sementara itu, Amy Sofia berjaya merangkul trofi Pengarah Terbaik Selangor yang diraih Amirul Shafiq dan kategori Pelakon Lelaki Terbaik Selangor, Pelakon Wanita Terbaik Selangor dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Selangor.

Teater Penglipur Lara dari Panji Seni Titian 9TH dan Bangsa Koyak dari Dramatis Studio pula masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga untuk Festival Teater Kuala Lumpur.

Untuk Festival Teater Selangor pula, menyaksikan teater Setanggi Serapah dari Anomalist dan Ter....? dari Pertubuhan Barisan Kreatif Artistik Teknologi Malaysia diangkat sebagai pemenang kedua dan ketiga.

Kemenangan Mahkamah Keadilan dan Amy Sofia meletakkan mereka berada dalam senarai kemungkinan kelompok enam kumpulan terbaik bagi menghadapi festival teater peringkat kebangsaan tahun depan.

Penolong pengarah teater Mahkamah Keadilan Alia Husna berkata, naskhah ini sudah banyak kali dipentaskan tetapi ini pertama kali diiktiraf sebagai pemenang dalam pertandingan.

“Kami cuba tampilkan tema sarkas. Ia satu eksperimen dengan mengangkat naskhah dalam bentuk yang berbeza. Kisahnya mengenai ketidakadilan dalam sistem mahkamah.

“Kami cuba bawa teater ini untuk menceritakan perihal masyarakat yang mungkin kita melihat sesuatu isu dengan bentuk berbeza. Ia disampaikan dalam bentuk santai dan komedi,” katanya.

Biarpun mulanya diramalkan bakal juara, pengarah Zayrul Iqwan Rosli tetap berpuas hati dengan kemampuan teater Bangsa Koyak apabila meraih tempat ketiga.


PUTEH Pro juara Festival Teater Selangor 2017.
“Teater ini pun pernah dipentaskan dan untuk pertandingan, kami cuba mengolahnya dalam bentuk berbeza.

“Saya berasakan kelemahan kami hanya dari aspek lakonan kerana Dramatis Studio adalah kelas lakonan. Yang berlakon adalah pelajar yang dibimbing bapa saya.

“Mungkin lakonan mereka belum cukup matang dan saya akan perbaiki kelemahan yang ada,” katanya yang juga anak kepada pelakon Rosli Rahman Adam.

Bagi Amirul Shafiq pula, kesibukan mereka dengan pelajaran tidak memudarkan semangat untuk memberikan persembahan terbaik sehingga Amy Sofia diangkat sebagai juara.

“Saya sendiri tak jangka menang kerana kami sangat sibuk dengan kelas di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

“Ada banyak rintangan antaranya ada pelakon yang tarik diri pada saat akhir kerana masalah keluarga membuatkan saya terpaksa cari pelakon gantian dua hari menjelang persembahan,” katanya.

FTKL 2017 diadili Mohd Diani Kasian, Badrul Zaman Abdul Jalil dan Khusiary Effendy Mahayuddin.

Manakala FTS 2017 diadili Mior Hashim Manap, Zuhairi Ibrahim dan Jamaluddin Md Nor.

Hadiah disampaikan Ketua Pengarah JKKN Tan Sri Norliza Rofli. Turut hadir memeriahkan acara dan menyampaikan hadiah antaranya pelakon Anding Indrawan, Sherry Al Hadad dan Fimie Don.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.