Berita Terkini
recent

Kisah daripada sisi suami

Pada 1950, Tanah Melayu digemparkan dengan tragedi rusuhan di Singapura membabitkan gadis keturunan Eropah bernama Natrah.

Puncanya, Natrah dipisahkan daripada suaminya, Mansor Adabi dan dimurtadkan sehingga mencetus kemarahan warga Singapura dan Tanah Melayu ketika itu.

Tragedi pada 12 Disember 1950 meragut 18 nyawa dan 200 cedera.

Kisah tragis ini juga diangkat dalam pelbagai bentuk sama ada menerusi novel atau teater.

Pengarah terkenal Erma Fatima juga pernah mementaskan teater Natrah yang membariskan pelakon seperti Sofia Jane, Umie Aida, Maya Karin dan Remy Ishak di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 2009.

Terbaru, teater Rusuh hasil tulisan aktivis teater terkenal A Wahab Hamzah bakal dipentaskan pada 23 hingga 26 November ini di Panggung Eksperimen Universiti Malaya, Kuala Lumpur jam 8.30 malam.

Jika sebelumnya ramai yang memfokuskan pada isu Natrah, Rusuh terbitan Pusat Kebudayaan Universiti Malaya dan Wave Art Studio dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), arahan Aris Othman ini sebaliknya apabila memaparkan cerita daripada sisi Mansor Adabi.

Rusuh menonjolkan watak yang terbabit menggerakkan protes terhadap penjajah.

A Wahab berminat dengan keseluruhan kisah Natrah dan berfikir selain daripada kisah wanita ini, adalah lebih menarik untuk membawa kisah daripada insan yang sangat dekat dengan Natrah sepanjang tragedi ini berlaku.

Pementasan ini berdiri atas sifat akademik selain daripada menceritakan sejarah yang pernah berlaku di tanah air untuk tatapan umum.


Barisan pelakon yang terbabit dalam Rusuh ialah Khai Sabri (Mansor Adabi), Azrin Ahmad (Che Aminah), Adriana Tan (Natrah), Danny Alamsyah (Karim Ghani), Yusmar Afeendi (Dr. Burhanuddin Helmi), Syafiq Ahmad (Mohd Taha Kalu), Nik Shamil (Darus), Faiz Malek (Salam), Zayrul Iqwan Rosli (Mustaza) dan Aim Zackry (Sardon).

Mereka adalah gabungan graduan teater dari Universiti Malaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta pelakon teater profesional.

Pelakon drama dan teater, Rosli Rahman Adam juga tampil membuat kemunculan istimewa melakonkan watak M A Majid. Turut serta membuat kemunculan khas ialah Rachel AF.

Rusuh menceritakan tindakan sekumpulan pejuang Melayu dan Islam yang menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Natrah selepas keputusan mahkamah tidak menyebelahi mereka.

Jawatankuasa ini bertujuan memperjuangkan maruah Islam dan orang Melayu dan yang paling utama memperjuangkan keadilan untuk Mansor serta Natrah yang dianggap diketepikan hak mereka oleh mahkamah Inggeris (penjajah) ketika itu.

Tiket untuk menonton berharga RM20 dan RM10 (pelajar dan orang awam) boleh dibeli di kaunter pada hari persembahan.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi Facebook Teater RUSUH-Nadra dan Instagram rusuhnadra2017.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.