Berita Terkini
recent

Khai 'artis segera' mampu maju

Bermula dari aplikasi ‘Smule’ nama penyanyi popular Khai Bahar terus meniti di bibir peminat di persada hiburan tanah air.

Bersandarkan bakat dan kerja keras, Khai, 23, berjaya membuktikan ‘artis segera’ sepertinya juga mampu melangkah jauh dalam bidang nyanyian.

Khai juga tidak menoleh ke belakang lagi menerusi pelbagai anugerah dan pengiktirafan diraihnya dalam bidang seni ketika ini.

Antaranya, kategori Lagu Paling Popular (lagu Bayang) dan Artis Paling Popular, Anugerah Planet Muzik (APM) 2017 di Singapura baru-baru ini.

Selain itu, kategori Penyanyi Lelaki Popular, Artis Baru Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 dan Artis Baru Meletop, Anugerah Meletop ERA 2017.

Terbaru, lagu Bayang dendangannya mara ke acara berprestij Anugerah Juara Lagu ke 32 (AJL) pada Februari depan.

Menurut Khai, dia bersyukur kerana lagu Bayang berjaya melangkah ke AJL.

“Sebagai penyanyi baru, ia memang impian saya untuk beraksi di pentas berprestij AJL dan berada pada tahap ini adalah pencapaian tertinggi untuk lagu Bayang.

“Saya akui saingan cukup sengit dan saya sudah buat yang terbaik ketika persembahan.

“Alhamdulillah, ternyata rezeki juga menjadi milik saya dan lebih bermakna kerana ia kali pertama persembahan saya dinilai barisan juri professional dan bukan bersandarkan populariti,” katanya.

Ditanya persiapan pada AJL, kata Khai, dia juga menjanjikan yang terbaik pada pertandingan final nanti.

“Saya akan fokus pada aspek vokal dan persembahan untuk memuaskan hati semua orang. Saya juga ada elemen kejutan dan kelainan pada final AJL nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Khai juga bakal muncul dengan single terbarunya berjudul Luluh tidak lama lagi.

“Saya berharap lagu yang berentak ‘pop catchy’ ini akan diterima peminat nanti.

“Saya juga ingin tampilkan sesuatu yang berbeza untuk peminat,” katanya.

Selain itu, Khai juga merancang untuk merakamkan single duet bersama idolanya, penyanyi Siti Nordiana pada awal tahun depan.

“Namun, ia masih dalam perbincangan lagi termasuk genre lagu yang dibawakan nanti,” katanya yang baru pulang dari mengerjakan umrah bersama ibu bapanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.