Berita Terkini
recent

Kewartawanan Hiburan Diangkat Dalam Akifma

 Industri kewartawanan hiburan di negara ini bakal diangkat dengan adanya penganjuran Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (Akifma) 2017 pada Jumaat ini.

Pengerusi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata acara yang julung kali diadakan itu merupakan satu penghargaan agensi itu kepada dunia kewartawanan dalam mendukung pembangunan industri filem tempatan.

"Pihak Finas mahu memberi penghargaan kepada wartawan atas idea, usaha dan aspirasi mereka menerusi penganjuran sulung anugerah ini.

"Ini kerana impak positif kewartawanan yang kritis dan kreatif secara jangka panjang amat penting bagi membantu kerajaan dalam pembinaan masyarakat yang cintakan industri filem," ujarnya.

Anugerah anjuran Finas ini bakal dijayakan dengan kerjasama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dan disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Ia akan diadakan di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur.

Acara itu bakal memberi pengiktirafan melalui penganugerahan 12 kategori utama termasuk Anugerah Khas Tokoh Wartawan Hiburan.

Pemilihan pemenang berdasarkan kepada penulisan dan laporan berkaitan industri filem tempatan dari 1 Januari 2016 sehingga 31 Oktober 2017.

Malam anugerah yang menampilkan gandingan Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Abam (Bocey) sebagai pengacara ini juga bakal mempertemukan semula nama-nama besar dalam dunia penulisan kewartawan hiburan bermula era 80-an sehingga wartawan yang masih bertugas ketika ini.

Beberapa wartawan hiburan juga bakal membuat persembahan dalam acara berkenaan.

Antara penyampai  pada malam anugerah ialah Datuk Rosyam Noor, Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Seri Shah Rezza dan tokoh wartawan hiburan seperti Saodah Ismail, Sarimah Husin dan Zubairi Zabidin.

Pemenang Akifma 2017 bakal membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai.

Kategori Anugerah

1. Anugerah Penulis Pojok Terbaik

2. Anugerah Wartawan Hiburan Muda

3. Anugerah Khas Juri 1

4. Anugerah Khas Juri 2

5. Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem

6. Anugerah Kolumnis Hiburan Terbaik

7. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik ( Media Baharu)

8. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik (Televisyen)

9. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik (Media Cetak)

10.Anugerah Kewartawanan Cemerlang 1

11.Anugerah Kewartawanan Cemerlang  2

12.Anugerah Tokoh Wartawan Hiburan

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.