Kecewa anak didik dipinggir

Penyanyi popular, Datuk Zainal Abidin kecewa dengan senario dunia hiburan tanah air yang didakwa tidak berlaku adil apabila hanya memandang artis yang ada rupa dan bukannya bakat.

Zainal, 58, mendakwa, industri hiburan sekarang terutama dalam bidang muzik tidak lagi ‘mengeluarkan’ penyanyi sebenar seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

“Apa yang kita ada sekarang kebanyakannya adalah produk. Saya juga kecewa dan terkilan apabila anak didik saya dalam program Mentor, Nadeera Zaini sukar mendapat tempat dalam industri muzik tanah air.

“Dia berbakat dan memiliki vokal yang bagus, tetapi kerana tiada pakej lengkap dia dipinggirkan. Sebaik keluar dari Mentor pada 2014, dia ada merakamkan single berjudul Hasrat Hati tetapi lagu itu tenggelam begitu saja.

“Begitu juga apabila bakat baru itu dilahirkan sesebuah stesen TV, saluran TV lain seolah-olah tidak mahu memberi ruang kepadanya,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran album Lost yang menggabungkan artis dari seluruh dunia iaitu Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Asia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Album itu diterbitkan dua beradik yang dikenali sebagai Vessbroz.

Mereka adalah komposer yang berjaya meraih pelbagai anugerah antarabangsa.

Selain Zainal yang terpilih merakamkan sebuah lagu dalam album itu berjudul Flleting, penyanyi tempatan lain yang mendapat penghargaan Vessbroz ialah Faradhiya dan Nadeera.

“Dalam album itu ada 11 penyanyi yang bertujuan memupuk semangat keamanan global. Album Lost adalah campuran beberapa genre muzik utama dan house music sebagai genre kedua.

“Vessbroz berjaya mencipta muzik unik mereka terutama pada dram. Album itu juga terpilih sebagai album rasmi untuk filem Inggeris-Malaysia yang berbajet besar berjudul C144. Beberapa lagu dalam album itu juga dijadikan lagu tema filem berkenaan,” katanya.

Sejajar dengan pelancaran album antarabangsa itu dan pelancaran filem C144 pada akhir tahun depan, Vessbroz akan mempromosikan album itu ke China, Hong Kong, Thailand, Indonesia dan United Kingdom serta menjelajah ke seluruh Malaysia.

Vessbroz juga mengedarkan video lirik dan video muzik untuk setiap lagu yang terkandung dalam album itu.

Jadual kerja seni Zainal terus padat sehingga tahun depan apabila dia terbabit dalam beberapa festival muzik jazz di Ireland, England, Perancis, Denmark, Itali dan Belgium.
Kecewa anak didik dipinggir Kecewa anak didik dipinggir  Reviewed by Kakigosip on 04:32:00 Rating: 5
Powered by Blogger.