Berita Terkini
recent

Jiwa izzat pada lakonan

Meskipun memiliki kerjaya hebat sebagai juruaudit, jiwa Izzat Mushtaq meronta-ronta untuk meneroka dunia seni.

Demi memenuhi keinginan itu, dia sanggup meninggalkan kerjaya berkenaan dan mencuba nasib sebagai pelakon.

“Selepas setahun bekerja, saya memilih untuk berhenti. Sebelum ini, saya menuntut di United Kingdom selama tiga tahun dalam bidang perniagaan,” katanya.

Menurut pelakon berusia 25 tahun ini, dia cenderung pada bidang lakonan sejak remaja.

“Saya suka melihat dan menterjemah kehidupan orang sekeliling dan persekitaran.

“Saya suka meneka dan menggambarkan personaliti seseorang yang saya lihat. Jadi, banyak boleh dikaitkan dengan bidang lakonan memandangkan kita perlu menterjemah sesuatu watak menerusi lakonan,” katanya.

Berguru dengan pelakon hebat Fauziah Nawi memberikan banyak pendedahan dan ilmu buat dirinya yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Fastyleasia.

Walaupun baru empat bulan, banyak perkara yang ditimba Izzat sebagai persediaan sebelum melangkah lebih jauh dalam bidang disukainya itu.

“Banyak benda saya belajar daripada Ibu Fauziah. Antaranya jangan berikan reaksi dan jiwa yang sama setiap kali melakukan latihan.

“Menurutnya, setiap ulangan latihan itu perlu disertakan ekspresi berbeza kerana setiap pelakon yang beraksi bersama kita, akan melakukan aksi berbeza dalam setiap ulangan,” katanya.

Selain lakonan, Izzat atau nama sebenarnya Muhammad Izzat Mushtaq Hussin ini juga aktif dalam aktiviti seni mempertahankan diri.

“Saya aktif dengan seni mempertahankan diri campuran (MMA). Ketika di United Kingdom, setiap kali cuti semester selama tiga bulan, saya akan pulang ke Malaysia dan menyertai kelas muay thai.

“Sekarang, saya dah kurang dengan muay thai dan cuba melakukan MMA pula. Memang saya agak serius juga kerana selain ada manfaat untuk kecergasan, ia membantu sekiranya ada watak memerlukan aksi,” katanya.

Ditanya pendapatnya mengenai kehadiran bakat baru yang tumbuh bak cendawan selepas hujan, Izzat berkata ia perkembangan yang sihat buat industri.

“Bakat muda perlu bekerja lebih keras kerana pelakon lama sudah meletakkan tanda aras yang tinggi.

“Jadi, kita perlu capai tanda aras itu atau lebih tinggi daripada itu. Hanya dengan cara itu kita dapat mengangkat industri seni tempatan ke mata dunia,” katanya.

Menjadikan Datuk Rosyam Nor dan Datuk Afdlin Shauki sebagai idolanya, Izzat menyasarkan dua hingga ke tiga tahun untuk mengukuhkan namanya.

“Fokus saya hanyalah kepada kerjaya lakonan dan tidak mahu buang masa lagi. Kalau dikenali dengan cepat, lagi bagus,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.