Berita Terkini
recent

Jibam, akhirnya ke layar perak

BAGI mereka yang menggemari majalah komik Gila-Gila suatu masa dahulu, pastinya cukup mengenali salah seorang kartunisnya iaitu Ibrahim Anon atau Ujang.

Selain bergelar kartunis, Ujang juga sebenarnya pernah menghasilkan sebuah novel yang cukup terkenal, Jibam yang memaparkan kisah seorang kanak-kanak istimewa.

Ternyata novel yang dihasilkan sekitar tahun 90an itu cukup popular dan pernah mendapat perhatian peminat novel tanah air.

Dan bagi mengembalikan nostalgia peminat yang pernah membaca, naskhah Jibam telah diadaptasi ke layar perak oleh syarikat produksi Spektra Selasih Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh pengarah Che Mie.


Ia bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 7 Disember 2017 sempena cuti sekolah.


Jibam mengisahkan tentang seorang kanak-kanak istimewa iaitu Ashraf atau Jibam yang unik sedikit lembab akal fikirannya, namun Jibam mempunyai keistimewaan yang tersembunyi.

Dia mewarisi kepandaian bapanya, Suman untuk mengubati penyakit. Suman mati terbunuh dalam hutan dan kematiannya sungguh misteri.

Selain itu, turut diketengahkan tentang Tok Ngah Sudin yang akan menimbulkan kebencian dan kemarahan penonton kerana sikap buruknya terhadap Jibam.

Pada masa sama, Jibam juga dibenci Usin Singai dan kemuncaknya apabila basikal tuanya dicat warna biru oleh Jibam. Hinggakan ayam dalam rebannya pun biru dikerjakan Jibam.

Pengarah filem Jibam, Che Mie memberitahu penggambaran filem arahannya itu telah dilakukan pada Februari 2016 di Sungai Lembing, Pahang.

“Sepanjang penggambaran berlangsung, semuanya berjalan dengan lancar dan seperti yang telah dirancang.

“Bagaimanapun cabaran untuk menghasilkan filem ini sebenarnya sudah bermula sejak sebelum penggambaran dibuat,” jelasnya.

Che Mie berkata, antara cabaran paling besar ialah untuk memilih pelakon utama kanak-kanak yang membawakan watak Jibam.

Selain itu, ujarnya memandangkan Jibam adalah merupakan filem pertama arahannya, mengadaptasi sebuah novel menjadi karya filem juga menjadi cabaran buat dirinya.

“Saya terpaksa membaca novel ini berkali-kali supaya jalan cerita yang diambil dapat divisualkan dengan apa yang telah ditulis oleh Ujang dalam novelnya," katanya.

Menurut Che Mie, sesuatu yang menarik mengenai filem Jibam ini apabila pelakon kanak-kanak iaitu Mohd. Ariff Abdullah telah diangkat sebagai watak utama dalam filem ini.

Diberi peranan sebagai Jibam, Ariff yang merupakan seorang pelakon kanak-kanak istimewa sebelum ini cukup terkenal dengan watak sebagai Buntat dalam sebuah drama.

“Untuk filem ini saya terpaksa mencari seorang guru untuk mengajar teknik lakonan kepada Ariff (Jibam).

“Saya lakukan ini supaya Ariff dapat menjiwai watak Jibam dengan baik memandangkan ini kali pertama dia berlakon filem,” jelasnya.

Impian jadi kenyataan

Dalam pada itu, menurut penerbit filem ini, Jafar Ahmad berkata, novel Jibam merupakan antara karya kegemaran ketika kecil dan menjadi impiannya juga untuk melihat Jibam diadaptasi ke layar perak.

“Apa yang boleh saya katakan, 95 peratus jalan cerita dalam novel dikekalkan dan hanya lima peratus lagi diubah dan ditambah baik mengikut kesesuaian.

“Sepanjang shooting, Ujang juga terlibat secara langsung dengan datang ke lokasi, beri pandangan apa yang sesuai mengenai filem ini,” ujarnya.


Dalam pada itu, Jafar berkata, dia merasa bertuah apabila populariti adik Arif telah melonjak sebelum filem ini ditayangkan.

“Kalau ikutkan Jibam adalah karya pertama yang dilakonkan oleh adik Arif sebelum dia berlakon dalam drama 7 Hari Mencintaiku.

“Sejak awal lagi, kami sudah sedia maklum bahawa adik Arif mempunyai masalah disleksia (sejenis gangguan pembelajaran), tetapi kami melihat dia mempunyai bakat besar dalam bidang lakonan.

“Alhamdulillah walaupun dia ada masalah tapi dia mudah menghafal skrip dan boleh beri apa yang pengarah mahukan,” jelasnya.

Selain Ariff, antara barisan pelakon popular lain yang turut membintangi filem berkenaan seperti Syafie Naswip, Esma Danial, Fadlan Hazim, Mia Ahmad, Bohari Ibrahim, Kazar Saisi dan Kamarool Yusoff.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.