Berita Terkini
recent

'Janji ya! tonton filem adik'

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Adik doakan semoga hari minggu yang indah ini diberkati dan penuh dengan keceriaan.

Minggu ini adik terpanggil untuk berbicara mengenai janji. Bukan apa, bagi adik janji seringkali diungkapkan orang kita tapi mereka tidak sedar betapa bahayanya jika ia tidak ditepati.

Dalam meniti kehidupan yang serba mencabar, ramai bermulut manis dan suka menabur 1,001 janji. Namun, tak ramai yang mengotakannya.

Barangkali mereka tidak sedar bahawa perbuatan itu (tidak mengotakan janji) sangat dibenci Allah SWT.

Bukan itu sahaja, mereka yang memungkiri janji adalah golongan munafik. Disebabkan itu, adik selalu mengingatkan diri supaya berhati-hati agar tidak termasuk dalam golongan itu. Malah, semoga dijauhkan daripada manusia munafik!

Terus-terang, adik memang tak suka berjanji kerana ia boleh mendatangkan implikasi buruk jika tidak dipenuhi. Sebagai contoh, ikatan persahabatan yang sekian lama terjalin boleh menjadi renggang apabila tiada rasa hormat serta kepercayaan yang makin hilang.

Apa pun, ada satu janji yang adik harapkan daripada peminat iaitu sama-sama menyokong filem sulung lakonan adik, Pinjamkan Hatiku yang akan menggegarkan pawagam mulai 30 November ini.

Filem cinta yang me­nyentuh perasaan arahan Osman Ali ini menggandingkan adik dengan dua bintang hebat iaitu Shaheizy Sam dan Farid Kamil. Fuhhh.... memang tak sabar.

Apatah lagi, kata pengarah filem ini penonton kena bawa tisu kerana jalan ceritanya sangat menyentuh perasaan.

Adik sudah menonton filem ini beberapa hari lalu di Bangkok. Bagi adik, ia karya yang sarat dengan emosi.

Diperhebatkan lagi dengan sinematografi yang cantik dan banyak lagi perkara menarik mengenai filem ini. Kalau cerita semua nanti, tak seronoklah. Harap duit tiket yang anda beli nanti berbaloi, insya-Allah.

Apapun, untuk rangka promosi awal yang diatur adik bersama pelakon lain serta barisan produksi filem Pinjamkan Hatiku sudah menjelajah ke utara tanah air minggu lalu.

Tak sangka ramai peminat membanjiri acara siri jelajah ini. Minggu ini, adik akan berada di Terengganu dan Pahang pula.

Setiap siri jelajah Pinjam­kan Hatiku akan ada sesi soal jawab mengenai filem dan lebih istimewa, adik akan berduet dengan Adi Priyo menyampaikan lagu OST Pinjamkan Hatiku.

Seiring dengan judul filemnya, lagu OST Pinjamkan Hatiku juga akan dipersembahkan di setiap lokasi jelajah. Seronok kan? Bukan senang nak tengok Adi Priyo nyanyi secara ‘live’ depan mata!

Selain itu, siri jelajah pada minggu lalu juga dimeriah­kan dengan kehadiran kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi. Terima kasih kepada papa adik yang menguruskan segala-galanya.

Minggu ini, kumpulan penunggang motosikal ini akan turut serta dalam siri jelajah Pinjamkan Hatiku. Jutaan terima kasih kepada Utara Bikers, Ipoh Bikers dan Pilot One Bikers yang terbabit.

Tak lupa, terima kasih buat peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan. Adik harap kita sama-sama hangatkan siri jelajah ini dan filem Pinjamkan Hatiku dapat mengulangi kejayaan Ombak Rindu.

Akhir sekali, adik rasa minggu ini panas dengan isu keputusan peserta yang layak bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32).

Bagi adik, tak perlu lagi panjangkan cerita. Malah, tak perlu juga ambil pusing kritikan serta cemuhan netizen. Apa yang berlaku Tuhan saja tahu. Siapa makan cili, dia rasa pedas. #Panas

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.