Berita Terkini
recent

Izzue Islam tidak pilih bulu

BAGI sesetengah pelakon, bekerja dengan syarikat produksi yang sudah stabil dan terbukti kemampuan menerbitkan drama mahupun filem adalah satu kemestian.

Namun pelakon dan penyanyi, Izzue Islam tidak mengamalkan konsep pilih bulu dalam bekerja.

Menurut Izzue, biarpun sesebuah syarikat produksi itu baru pertama kali menjalankan projek sulung, namun tidak menjadi masalah untuk dia menerima tawaran bekerja.

"Bagi saya semua produksi harus diberi peluang sama rata. Yang penting kita sebagai pelakon harus percaya dengan kemampuan mereka.

"Lagipun bila saya terima tawaran berlakon filem misalnya dari produksi baru atau lama sekalipun, mereka tidak tetapkan syarat untuk kita membawa pulangan keuntungan pada syarikat.

"Bagi saya semua itu (kutipan pecah panggung untuk filem) rezeki dari ALLAH SWT," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan menandatangani kontrak filem Pailang JB di Comedy Planet, baru-baru ini.

Izzue bakal memulakan penggambaran filem di bawah syarikat produksi Simpang 3 Production, bermula pertengahan Disember depan.

"Saya sedar ini produksi baru dan saya tak ada masalah untuk menerima. Saya terima sebab kelainan dari segi watak, di mana saya perlu belajar seni mempertahankan diri dan ada ada babak pertarungan serta perlumbaan kereta,” katanya mengenai filem yang akan diarahkan oleh Ryzal Yusoff ini.

Dalam pada itu, Izzue berkata, dia bertuah apabila mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah filem serta drama untuk membawakan pelbagai jenis karakter sepanjang bergelar pelakon.

"Walaupun ada yang kata muka saya jambu, Alhamdulillah saya pernah membawakan watak antagonis. Cuma ada peminat yang tidak suka jika saya bawa watak gelap.

"Tapi bila mereka tak suka, saya anggap saya berjaya buat mereka benci dengan lakonan saya.

"Lagipun saya nak buktikan, bukan semua yang bermuka baik atau jambu itu baik, tapi yang muka jambu inilah ada yang lagi jahat dari mereka yang bermuka jahat.

"Senang kata, kita jangan senang menilai orang berdasarkan rupa luarannya sahaja," ujarnya.

Berkongsi perkembangan terkininya, Izzue berkata, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem XxRay3 di Jordan, awal November lalu.

Selain sibuk berlakon, Izzue masih lagi menerima tawaran menyanyi bersama kumpulan Forteen dan bakal tampil dengan single baru, selewatnya tahun depan.

"Insya-ALLAH, Forteen akan mengeluarkan single baru dan saya juga akan keluar dengan single ketiga tidak lama lagi.

"Alhamdulillah, walaupun nampak saya sibuk berlakon, tapi karier nyanyian tidak pernah saya ketepikan, cuma bezanya nyanyian ini tidak semua orang nampak kerana ada kalanya ia melibatkan persembahan korporat dan bukan muncul di kaca TV," jelasnya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.