Berita Terkini
recent

Izara, Adib selamat diijab kabul

AKTRES jelita Izara Aishah, 25, sah bergelar isteri kepada Muhammad Adib Khalid, 27, yang juga anak tiri kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan sekali lafaz tepat jam 9 malam ini.

Pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Perkahwinan Perceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor, Ustaz Mohd Jazlan Ali.

Pada majlis yang diadakan di Mercu Mustapha Kamal, Damansara itu, Izara menerima mas kahwin RM700 berserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki, sementara Izara membalas dengan tujuh dulang. Wang hantaran bagaimanapun dirahsiakan.


Majlis itu dihadiri lebih 500 tetamu yang terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan artis dan sahabat handai.

Terdahulu, Izara dan Adib mengikat tali pertunangan pada 7 Julai lalu selepas bercinta selama tiga tahun.

Pasangan itu turut diraikan dalam majlis resepsi sebelah pihak perempuan sesuai acara akad nikah.

Majlis yang mendapat sentuhan  perancang perkahwinan GlamWeddings itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian Marsha Milan dan Kilafairy.

Busana kedua-dua mempelai mendapat sentuhan pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim serta tajaan barang kemas daripada Habib. Tatarias pula oleh Khir Khalid.

Antara rakan artis yang hadir, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Osman Ali, Ghaz Abu Bakar dan Azira Shafinaz.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.