Berita Terkini
recent

Istimewa dengan tarikan tersendiri

Santai dan menghiburkan. Seperti temanya, Folklore Festival (Festival Kesenian Budaya), konsert Petaling Jaya Fair 2017 (PJ Fair 2017) yang berlangsung di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya, Selangor pada malam minggu lalu ternyata mempunyai keistimewaan tersendiri.

Melihatkan saingan daripada perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 di antara Kedah menentang Johor Darul Takzim (JDT) yang berlangsung pada malam sama di Stadium Shah Alam, kehadiran lebih 8,000 peminat terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan agama, cukup membuktikan program edisi kelima anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ini dinanti-nantikan mereka.

Menghampiri jam 9 malam, Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Azizi Mohd Zain tampil di atas pentas merasmikan konsert sekali gus disambut dengan tepukan bergemuruh peminat yang seakan-akan tidak sabar menantikan persembahan artis pujaan mereka.

Bagaimanapun mereka terlebih dahulu dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan kebudayaan masyarakat majmuk di negara kita.

Menariknya suasana turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan di bawah Program Sister City antaranya ialah Bandung (Indonesia), Miyoshi, Saitama (Jepun), Asan dan Seongbuk-Gu (Korea Selatan) dan Singapura.

Detik yang dinantikan akhirnya tiba apabila penyanyi remaja, Annabella Chua tampil membuka pentas menyampaikan dua lagu.

Selepas itu giliran penyanyi popular dalam kalangan masyarakat India, MR 5K pula tampil menghiburkan peminat.

Suasana semakin panas dengan celoteh pengacara Faizal Ismail yang berjaya mengendalikan konsert dengan baik. Ada-ada saja usikan dan dialog spontannya yang berjaya menggeletek hati peminat.

Mereka seterusnya dihiburkan dengan persembahan Kaka yang menyampaikan dua lagu antaranya lagu popular Bukan Hal Aku.

Momentum persembahan semakin menarik apabila Sufian Suhaimi tampil menyanyikan dua lagu iaitu Harus Aku dan Terakhir.

Peminat tanpa disuruh turut sama menyanyikan lagu-lagunya yang berjaya menguasai carta lagu-lagu popular ini.

Keputusan penganjur meletakkan Ameng, Datuk Ramli Sarip dan Datuk M Nasir satu langkah tepat kerana peminat tidak berganjak untuk menunggu sehingga akhir persembahan.

Ameng membuktikan dirinya masih hebat apabila berjaya memukau peminatnya dengan lagu Bourgenvilla, Pesanan Buat Kekasih dan Sampai Hati.

Sudah menghampiri jam 11 malam tetapi peminat masih setia menanti. Detik yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila Ramli Sarip tampil di atas pentas dengan lagu pertama Bukan Kerana Nama.

“Saya gembira dapat bersantai-santai bersama anda dalam majlis yang dianggap konsert rakyat ini.

“Oleh kerana itu, saya akan menyampaikan lagu-lagu yang kena dengan anda, cita rasa rakyat,” katanya yang seterusnya menyanyikan lagu Nyanyian Serambi, Doaku Buat Kekasih dan Teratai.

Ternyata aura Ramli begitu kuat kerana peminat ‘sporting’ apabila disuruh menyanyikan beberapa bait lirik lagu Doaku Buat Kekasih dan Teratai.

M Nasir tampil sebagai artis terakhir dan dek kerana kesuntukan masa, dia terus menyampaikan tiga lagu iaitu Hati Emas, Raikan Cinta dan Mentera Semerah Padi.

Seperti Ramli yang juga rakan baiknya, aura M Nasir juga kuat kerana berjaya memberikan hiburan dengan caranya yang tersendiri.

Konsert berakhir mengikut jadual pada jam 12 tengah malam dan peminat yang hadir dihadiahkan dengan persembahan bunga api sebagai penutup.

Selain konsert, PJ Fair 2017 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti lain antaranya urban dance and Zumba, flea market, memancing, berkelah, kayak & waterball, smart ride, pertandingan bola jaring, pertandingan skateboard, foodgasm, persembahan kebudayaan, buskers dan pameran.

Penganjuran PJ Fair 2017 turut mendapat kerjasama strategik pihak Bandung (Indonesia), Miyoshi, Saitama (Jepun), Asan dan Bandar Seongbuk-Gu (Korea Selatan) dan Foodgasm Fest.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.