Berita Terkini
recent

Hamil 5 bulan, Norzizi Zulkifli tetap hebat di pentas

PEMENTASAN Bangsawan Dendam Laksamana arahan Pat Ibrahim yang baru sahaja melabuhkan tirainya di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam mendapat sambutan sangat memberangsangkan daripada penonton.

Bukan hanya kerana pengisian naskhahnya yang menarik tetapi persembahan barisan pelakonnya, baik teraju utama sehinggalah kepada watak kecilnya begitu memberi impak kepada pementasan.

Salah seorang yang turut mencuri perhatian, tentunya Dr Norzizi Zulkifli yang memegang watak sebagai Pawang Sadewata.

Meskipun hanya muncul untuk satu babak, namun persembahan hebat yang ditunjukkan Norzizi berjaya mencuri perhatian penonton menerusi penyampaian monolog yang begitu meninggalkan kesan.

Namun di sebalik itu, mungkin ramai yang tidak tahu Norzizi kini sedang hamil lima bulan dan tidak dapat mengikuti sesi latihan dengan sepenuhnya kerana kurang sihat.

“Alhamdulillah semunya berjalan lancar dan saya sangat gembira dengan reaksi positif daripada penonton yang rata-ratanya menyukai apa yang kami pentaskan dalam persembahan ini.

“Meskipun kurang masa latihan kerana keadaan kesihatan saya tidak begitu baik sejak berbadan dua, saya tidak mengalami sebarang masalah ketika berada di pentas untuk menjayakan watak ini, cuma mengah sedikit bila kena melontarkan dialog yang cukup panjang.

“Kebetulan juga, watak sebagai Pawang Sadewata ini tidak memerlukan pergerakan yang banyak, sebaliknya hanya perlu duduk untuk melontarkan monolog untuk babak tersebut,” kata ibu kepada dua orang anak ini.

Tidak mahu melepaskan peluang untuk terlibat dalam projek pertama terbitan rakan baiknya, Pat Ibrahim membuatkan Norzizi mengetepikan seketika masa rehatnya untuk memberikan tumpuan kepada pementasan ini.

“Sebenarnya saya sendiri yang menawarkan diri kepada Pat untuk terlibat dalam pementasan ini sebaik sahaja tahu dia bakal tampil dengan sebuah persembahan bangsawan.

“Tak sangka pula Pat bagi saya watak yang begitu menarik sehingga membuatkan saya begitu bersemangat untuk membuat persembahan di pentas,” ujarnya yang turut tampil menerusi teater Bahara Emas Oktober lalu.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.