Berita Terkini
recent

Hafiz Suip rindu aktif menyanyi

HAMPIR dua tahun menyepikan diri, penyanyi Hafiz Suip mengakui rindu untuk kembali aktif sebagai anak seni sebagaimana sebelum ini.

Sejak lebih dua tahun lalu, Hafiz mengambil keputusan memperlahankan kerjaya seninya kerana berdepan dengan masalah kesihatan yang dialami semenjak sekian lama.

Menurut Hafiz, dalam tempoh itu, dia melalui rawatan sakit tulang belakang (slip disc) sehingga terpaksa menolak banyak tawaran menyanyi kerana tidak mahu menyusahkan pihak lain dengan keadaan dirinya.

“Alhamdulillah selepas hampir dua tahun menjalani rawatan secara berterusan, keadaan saya bertambah baik dan selepas ini saya akan kembali aktif dalam kerjaya seni seperti biasa.

“Cuma  buat masa ini, saya perlu beri tumpuan kepada isteri yang kini sarat mengandung anak pertama kami dan dijangka bersalin pertengahan Januari tahun depan.

“Saya harap peminat di luar sana masih tidak lupakan saya walaupun ramai bakat baru yang muncul saban hari dalam industri,” ujarnya.

Menguatkan keazamannya itu, penyanyi yang pernah tiga kali mengungguli kategori Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL) ini kini bernaung di bawah syarikat pengurusan baru, Rocketfuel yang bakal merencana kerjaya seninya dengan lebih lancar selepas ini.

“Tawaran untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan baru ini datang pada waktu yang tepat di saat saya mahu kembali memberi tumpuan kepada kerjaya seni.

“Mereka sangat efisen, lebih teratur dan telah merangka perancangan yang begitu menarik untuk kerjaya nyanyian saya, yang saya sendiri tidak pernah terfikirkan.

“Jadi saya harap ia bakal jadi strategi terbaik untuk saya mula langkah baru dan seterusnya tampil dengan sesuatu yang lebih menarik untuk peminat,” kata Hafiz yang ditemui ketika majlis pelancaran Rocketfuel Entertainment, baru-baru ini.

Kali terakhir muncul dengan single Matahari (2013), Hafiz kini sibuk mempromosikan single terbarunya, Kejar , diikuti Hari Ini Dalam Sejarah yang didedikasikan buat cahaya mata pertamanya.

“Memang dah lama saya tidak tampil dengan single terbaru, malah ramai peminat bertanyakan tentang itu dan menyatakan kerinduan mereka untuk tengok saya tampil dengan lagu baru.

“Apatah lagi apabila tiba musim AJL ini,  ada yang bertanya apabila kelibat saya tidak ada dalam persaingan pertandingan ini kerana sebelum ini, nama saya sentiasa ada bersama rakan-rakan lain.

“Walaupun tidak bertanding, saya sentiasa menyokong AJL dan berharap ada rezeki untuk kembali ke AJL pada tahun depan dengan single terbaru ini nanti, Insya-ALLAH,” katanya.

Kembali imej rambut kerinting

Dalam pada itu, ramai  yang menegur imej Hafiz yang nampaknya kini kembali tampil dengan imej berambut kerinting yang pernah menjadi identitinya ketika awal bergelar penyanyi dulu.

“Memang saya sengaja simpan rambut panjang untuk menampakkan rambut kerinting saya.

“Setelah lama berehat, saya rasa seperti orang dah lupakan saya dan ada ketika rasa seperti patah semangat untuk kembali menyanyi, namun bila ramai yang menyokong dan beri semangat, saya mula berfikiran positif.

“Saya mahu kembali bersemangat sebagaimana waktu mula-mula saya melangkah dalam bidang seni beberapa tahun dulu dan imej rambut kerinting ini akan mengingatkan saya kepada itu,” luah Hafiz jujur.

Selain memberi tumpuan kepada bidang nyanyian, Hafiz juga kini semakin aktif dalam bidang pengacaraan dan mengakui semakin selesa dengan cabang seni baru yang diceburinya menerusi program Unplugged (Astro Ria).

“Pada mulanya saya menerima tawaran bergelar hos adalah untuk mencabar diri saya melakukan sesuatu yang baru selain  meningkatkan tahap keyakinan diri dan cara saya berkomunikasi.

“Namun apabila program tersebut memasuki beberapa episod, ditambah pula dengan rakan gandingan saya, Elly Ariffin yang banyak membantu, saya mula selesa dan ia kemudiannya menjadi minat.

“Terbaru, saya juga muncul sebagai hos untuk sebuah program memancing yang kini hangat disiarkan di saluran YouTube, di mana menyaksikan saya tampil dengan cabaran berbeza,” ujarnya yang tidak menolak untuk aktif dalam bidang ini jika terus diberi peluang.

Berkongsi tentang perasaanya yang bakal bergelar bapa tidak lama lagi, Hafiz yang mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya, Nureffy Jasreel Abdullah pada Mei tahun lalu ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar apabila isteri melalui proses kehamilan dengan keadaan yang cukup baik.

“Jadi fokus saya sekarang adalah untuk menantikan saat kelahiran cahaya mata pertama kami dan harap peminat doakan yang terbaik buat kami sekeluarga,” akhirinya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.