Berita Terkini
recent

Hael ada lagu baru

Selepas kejayaan lagu Jampi, pastinya peminat Hael Husaini kini menantikan buah tangan baru setanding dengan karya itu.

Oleh itu, pemilik nama sebenar Hal Husaini Ramzi, 29, menggalas tanggungjawab lebih besar untuk tampil dengan single lebih hebat.

Bagaimanapun, Hael tidak melihat perkara itu sebagai beban sebaliknya menjadikannya pemangkin semangat.

“Saya faham peminat mahukan lagu yang lebih ‘gempak’. Ketika menghasilkan Jampi, saya tidak pernah meletakkan harapan tinggi.

“Kejayaannya di luar jangkaan dan saya bersyukur kerana percaturan berjaya. Pendekatan sama saya gunakan untuk lagu baru,” katanya.

Hael mengakui ada material baru dalam simpanannya namun belum menetapkan bila akan dilancarkan.

Menurut Hael, dia akan terus rancak mempromosikan Jampi memandangkan lagu itu menjadi periuk nasi utamanya buat masa ini.

“Saya gembira apabila tawaran persembahan tidak pernah putus. Saya pun semakin seronok beraksi di atas pentas dan sangat berpuas hati apabila penonton terhibur serta turut sama menyanyi.

“Selagi Jampi masih menerima sambutan luar biasa dan peminat mahu mendengarnya, saya akan terus mempromosikannya,” katanya.

Berbicara lanjut perihal lagu baru, Hael berkata dia akan memastikan karyanya itu mesra telinga dan segar.

“Apa yang boleh saya katakan, lagu ini unik. Saya memang sukakan kelainan kerana mahu peminat ingat lagu saya.

“Kalau boleh biarlah lagu ini dapat diterima semua orang,” katanya.

Setakat ini, video lirik Jampi berjaya mencecah tontonan lebih 22 juta di YouTube dan turut layak ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 32.

Awal tahun ini, Hael mengambil keputusan bergerak solo selepas mengumumkan pengundurannya daripada duo Azhael. Percaturannya itu menjadi apabila karier solonya mendapat sokongan peminat.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.