Berita Terkini
recent

Gitaris AC/DC meninggal dunia

PENGASAS bersama dan juga gitaris kumpulan AC/DC, Malcolm Young meninggal dunia setelah menghidapi penyakit Demensia semalam, di usia 64 tahun lapor CNN.

Kumpulan tersebut dalam satu kenyataan mengatakan Young meninggal dunia di samping ahli keluarga di rumahnya.

"Beliau terkenal dengan kehebatannya bidang muzik iaitu sebagai penulis lirik, gitaris, penghibur, produser dan telah menjadi ilham ramai 'rocker' lain.

"Sejak awal lagi, adik beradik tersebut tahu apa yang mahu dicapai dan memberikan yang terbaik buat peminat mereka di seluruh dunia," kata kenyataan tersebut.

Young bersama adik lelakinya Angus mengasaskan kumpulan Rock lagenda AC/DC pada tahun 1975 di Australia dimana Young memainkan gitar irama dan adiknya sebagai 'lead'.

Sementara itu, Angus dalam kenyataan lain berkata abangnya sangat bangga dengan segala pencapaiannya selama ini.

"Dia sangat setia dengan peminatnya, sebagainya adik, sukar bagi saya untuk menyatakan kepentingan beliau dalam hidup saya.

"Ikatan kekeluargaan kami sangat unik dan istimewa. Dia sememangnya meninggalkan warisan besar yang akan hidup selama-lamanya,"katanya.

Young meninggalkan kumpulan tersebut pada 2014 setelah bergelut dengan penyakitnya dan digantikan anak saudaranya, Stevie Young.

AC/DC telah diletakkan di 'Hall of Fame Rock & Roll' pada tahun 2003, selain itu kumpulan tersebut juga turut menjadi inspirasi muzik buat anak-anak muda khas buat genre  Rock dan 'heavy metal'.

Antara lagu-lagu hebat kumpulan ini adalah 'Black in Black', Highway to Hell' dan 'You Shook Me All Night Long'.

Dalam pada itu, Persatuan Industri Rakaman Amerika menyatakan kumpulan tersebut antara salah satu band paling laris dalam sejarah muzik, telah menjual lebih daripada 70 juta album di negara tersebut.

Pemergian Young turut dirasai oleh rakan-rakan pemuzik dan peminat apabila mereka membanjiri media sosial menyampaikan ucapan takziah.

AC/DC merancang untuk membuat laman web peringatan buat gitaris tersebut di mana peminat boleh menghantar mesej peringatan kepada ahli keluarga Young.

Beliau meninggalkan seorang  isteri, O'Linda, anak-anak, Cara dan Ross, menantu lelaki, Josh serta tiga orang cucu dan adik-beradiknya yang lain.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.