Berita Terkini
recent

Gigih terus perjuangan

Sentiasa yakin genre muzik tradisional seperti irama Malaysia takkan pernah luput di hati peminat membuatkan penyanyi Noraniza Idris, 48, gigih meneruskan perjuangannya.

Noraniza mendapat jolokan ‘Ratu Irama Malaysia’ kini giat memperkasakan program Pembangunan Belia Melalui Budaya oleh Akademi Tatih Seni Malaysia di bawah pimpinannya.

Katanya, program Pembangunan Belia Melalui Budaya itu dianjurkan sebagai membuka peluang kepada anak muda yang kurang berminat dalam akademik tetapi memiliki kemahiran dalam asas kesenian.

“Mereka pada saya adalah modal insan yang memerlukan bimbingan latihan profesional dan motivasi untuk terus memartabatkan budaya tradisi bangsa,” katanya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Dikir Puteri dan Dondang Dendang ini yakin usaha murni itu akan mendapat sambutan.

Selama 32 tahun menceburi bidang seni, Noraniza berkata, sudah lebih dua dekad dia aktif memperjuangkan irama Malaysia.

“Apapun, hingga kini masih ada impian saya yang belum tercapai iaitu muncul dalam konsert irama Malaysia sendiri.

“Semoga tahun depan impian ini akan jadi kenyataan. Cuma yang pasti kini saya memang memberi tumpuan kerja belakang tabir,” katanya.

Noraniza selesa jika pelapis baru irama Malaysia banyak mendapat pendedahan dan peluang untuk ketengahkan bakat.

Kini dia bangga kerana anak bongsunya, Mohd Alfeeq Haiqal, 24, atau Fee Haiqal turut mengikut jejaknya sebagai penyanyi.

Kata anak jati kelahiran Johor ini, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

“Saya memang tidak menghalang dan akan memberi sokongan penuh kepada Fee untuk terus berusaha membina nama dan karier sebagai penyanyi.

“Selain menyanyi, Fee juga ada bakat dalam penciptaan lagu. Jadi, sayang kalau tidak diberi sokongan dan galakan,” katanya.

Pengalaman yang ada padanya turut dikongsi Noraniza dengan Fee. Dia bangga melihat anaknya sangat komited dan fokus dalam bidang muzik yang diceburi.

“Sebagai ibu, ia perkara yang amat menggembirakan saya. Melihat kesungguhannya termasuk sikap rajin bertanya kepada saya, diharapkan Fee akan memperoleh kejayaan diimpikan.

“Malah saya juga menyokong apa saja genre muzik yang mahu diketengahkan Fee dalam perjuangan seninya,” katanya.

Ibu dua anak bujang ini akui anak muda zaman sekarang ada cita rasa muzik pilihan sendiri. Katanya, paling penting mereka harus diberi peluang.

“Saya juga doakan pembabitan Fee akan mendapat perhatian kerana dia sudah berusaha,” katanya.

Memilih genre R&B dan pop, Fee muncul dengan single pertama, Aku Mencari ciptaan sendiri.

Selain berharap single Aku Mencari mesra radio, Noraniza juga bangga melihat kesungguhan anaknya mempromosikan lagu itu di platform media sosial.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.