Berita Terkini
recent

Gegar Vaganza: Ferhad tersingkir minggu kedua

PERJALANAN penyanyi Ferhad terhenti di minggu kedua apabila tersingkir daripada persaingan Gegar Vaganza.

Ferhad yang menyanyikan lagu Harus Terpisah nyanyian asal Cakra Khan mendapat markah terendah daripada dua juri tetap, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang berserta juri undangan Datuk Jalaluddin Hassan.

Penyanyi yang berasal dari Singapura itu merupakan peserta pertama yang tersingkir dalam program ini yang sudah memasuki musim keempat.

"Bukan mudah untuk menyanyikan lagu Cakra Khan. Namun kamu telah berusaha untuk menyampaikan dengan baik," ujar Hetty Koes Endang pada persembahan Ferhad.

Dalam pada itu, Raja Azura yang dikatakan antara yang boleh tersingkir pada minggu awal berjaya memberikan persembahan mengagumkan.

Pada minggu kedua, kesemua 12 peserta mendendangkan lagu dengan tema Sekali Dengar, Melekat.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala naib juara akan menerima RM50,000.

Tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam pula masing-masing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi.

Gegar Vaganza musim keempat ini membariskan penyanyi profesional seperti Aishah, Liza Hanim, Lan Kristal, Tia Jinbara, Ferhad, Firman, Raja Azura, Aqasha dan ramai lagi.

Dipentaskan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Gegar Vaganza mendapat tajaan platinum dari Pamoga serta penaja emas Digi dan Adabi.

Program ini disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.