Berita Terkini
recent

Fattah Amin kongsi rahsia kejayaan

JIKA diukur tempoh penglibatannya dalam industri seni, aktor tinggi lampai ini boleh dikatakan masih 'hijau'.

Mula menyertai industri seni sekitar 2013 selepas menjadi juara Hero Remaja 2011/2012, Fattah Amin teruk dikritik kerana ramai menyifatkan lakonannya kaku.

Namun kritikan demi kritikan tidak 'melayukan' semangat jejaka berusia 27 tahun ini untuk terus memperbaiki diri.

Benarlah, dalam tempoh dua tahun sahaja, pemilik nama sebenar, Abdul Fattah Mohd Amin berjaya melonjakkan popularitinya menerusi lakonan berkesan sebagai juruterbang dalam drama Suri Hati Mr Pilot.

Sejak membintangi drama itu juga, satu demi satu kejayaan ditempa anak jati Kuala Lumpur ini di persada seni.

Namun, ada satu persamaan yang masih dilalui Fattah biarpun kini menjadi buruan penerbit dan syarikat korporat terkenal, baik tempatan dan antarabangsa, dia masih lagi menerima kecaman netizen.

Biarpun sering dikritik, dikecam, dicemuh, menjadi mangsa kontroversi, bahkan ada ketikanya menjadi bahan jenaka oleh rakan seindustri, Fattah masih berpegang kepada nasihat dan ajaran ibu serta ayah iaitu kesabaran.

"Sejak kecil lagi, ibu dan ayah ajar kami jadi manusia yang sabar. Isu yang dibangkitkan bukan saya yang minta atau cipta, ada ketikanya hanya kerana kenyataan saya disalah tafsir, orang bercakap dan menjatuhkan hukum.

"Tapi bagi saya, bila  timbul isu, bagaimana kita kendalikannya. Saya akan bersabar dan diam, kalau perlu baru diperbetulkan.

"Indah jadi orang yang sabar, lagi kita sabar, lagi murah rezeki kita.

"Saya juga bukan orang yang jenis cepat terasa, kalau ada yang jadikan bahan jenaka ke, saya anggap itu gurauan.

"Selagi tak memburukkan keluarga, saya ok saja," ujarnya kepada Media Hiburan ketika ditemui pada majlis sidang media pelantikannya sebagai duta King Koil.


Bagi Fattah, kejayaan yang diterima hari ini juga tidak menjadikan dia sebagai insan yang lupa diri.

Bahkan ada pengorbanan yang perlu dilakukan demi memastikan dia dapat membawa dan menjaga nama untuk tempoh yang panjang.

"Memang bukan mudah nak gapai apa yang dicapai pada hari ini. Saya rindu nak bergerak bebas seperti dulu, tapi inilah harga yang perlu saya bayar bila memilih menjadi selebriti.

"Penting untuk saya jaga nama  sampai bila-bila, lebih lagi bila dilantik menjadi duta atau jurucakap untuk jenama tempatan dan antarabangsa.

"Alhamdulillah  ini rezeki yang ALLAH SWT telah aturkan," katanya.

Berkongsi penglibatannya dengan jenama King Koil, Fattah berkata, dia merupakan antara pengguna jenama tilam itu sejak dahulu lagi.

"Bila mereka lamar saya jadi duta, saya memang tak fikir panjang untuk terima kerana King Koil bukan asing bagi saya.

"Lebih istimewa apabila mereka beri peluang saya berkongsi idea. Mereka juga keluarkan 500 bantal bersaiz kecil dengan wajah saya dan akan diberikan secara percuma bagi setiap pembelian koleksi tilam Prince," jelasnya.

Makin ligat

Berkongsi perkembangan terbarunya, Fattah baru sahaja selesai penggambaran drama adaptasi dari Korea, Coffee Prince.

Dia juga mula ligat mempromosikan produk replacement diet di bawah jenama MRP yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

"Syarikat pengurusan juga dah mula atur jadual  tahun depan. Filem pertama saya KL Special Force dijangka keluar. Ada dua komposer dari Indonesia dan Korea mahu bekerjasama dan saya kira ini masa sesuai untuk lebarkan sayap ke luar negara.

"Walaupun saya pernah kata nak  perlahankan karier  tahun depan,  saya terpaksa lupakan dulu.  Saya kena maintain dalam industri," akhirinya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.