Berita Terkini
recent

Eza pertaruh Bahagia

Biarpun pembabitan penyanyi Eza Edmond, 19, dalam bidang nyanyian masih baru, dia sudah ada kelompok peminat tersendiri.

Apatah lagi Eza yang sebelum ini muncul secara duo bersama rakannya, Aruu berjaya menjadi perhatian pelayar Internet di laman YouTube.

Eza atau Eza Hafizah Edmond berkata, kini dia perlu bergerak secara solo untuk berjuang dalam bidang muzik.

“Minat mendalam terhadap nyanyian membuatkan saya mengambil langkah mahu serius membina karier sebagai penyanyi.

“Namun Aruu tidak mahu ikut serta kerana dia ingin meneruskan perjuangan muziknya sendiri di Sabah. Sebagai rakan, saya sangat menghormati keputusan Aruu dan kuatkan semangat untuk mengatur langkah bergerak solo,” katanya.

Sebagai perkenalan Eza dalam bidang nyanyian, dia muncul mempertaruhkan single solo pertama, Bahagia.

Bernaung di bawah Sheikh Qalam Records Sdn Bhd, single Bahagia adalah hasil ciptaan komposer baru, Hazmi Fahim.

Gadis kelahiran Sabah ini berkata, dia dan Hazmi adalah sahabat dan sudah berkawan lama.

Katanya, sebaik mendengar melodi dan lirik lagu Bahagia, dia terus sukakan lagu itu.

“Ia sangat sesuai dengan vokal saya selain yakin single ini mampu mesra radio jika kerap mendapat peluang disiarkan,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Sheikh Qalam, Kata Eza dia mengenalinya di laman sosial dan akui pada mulanya sukar juga mahu percaya kerana bimbang dia mungkin ditipu.

“Saya bimbang ditipu kerana tiada pengalaman. Jadi, sebelum menjadi mangsa lebih baik saya berhati-hati. Tapi selepas Hazmi membawa saya berjumpa dengannya, baru saya yakin untuk bekerjasama.

“Saya sifatkan kerjasama ini sebagai rezeki yang tidak diduga,” katanya.

Video lirik single Bahagia yang dimuat naik di YouTube sejak dua bulan lalu, hingga kini mencatat 300,000 tontonan.

Bagaimanapun, Eza bersama Aruu pernah tular di Internet menerusi single Kawan (sila meninggal) yang mecatat lebih 1.5 juta tontonan di YouTube.

Katanya, dia tidak gentar persaingan dengan penyanyi lain dan sentiasa yakin dengan bakat dan kebolehan diri sendiri.

Eza juga akan menyambung pengajiannya dalam ijazah muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam tahun depan.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.