Berita Terkini
recent

Debaran yang mencemaskan

PENULIS tidak pernah menonton filem Pengabdi Setan yang dihasilkan Sisworo Gautama Putra pada 1980.

Ketika itu, filem yang dijayakan Ruth Pelupessy, W.D. Mochtar, Fachrul Rozy, Simon Cader, I.M. Damsyik, Doddy Sukma dan beberapa pelakon lain ini disifatkan sebagai antara filem seram sekitar 80-an.

Dan sebagai salah seorang penonton yang pernah menyaksikan filem Pengabdi Setan beberapa kali ketika itu, telah mendorong Joko Anwar menulis dan mengarahkan semula filem Pengabdi Setan yang sesuai untuk tahun ini.

Masih mengekalkan mood seram yang sama, Joko berkata, dia menghasilkan filem ini dengan harapan penonton akan merasai debaran dan ketakutan sama yang dirasainya ketika menontonnya 30 tahun lalu.

Ternyata Joko berjaya berbuat demikian untuk filemnya kali ini, kerana rata-rata penonton di Indonesia memuji Pengabdi Setan ini, biarpun sedikit berbeza dengan versi asalnya.

Untuk kali ini ia berkisarkan sebuah keluarga di mana si ibu, Mawarni mengalami sakit aneh selama tiga tahun sebelum meninggal dunia.

Selepas beberapa hari meninggal dunia, si bapa, terpaksa pergi ke bandar kerana mendapat kerja dan terpaksa meninggalkan anak-anaknya di rumah.

Namun kejadian aneh mula berlaku apabila roh si ibu muncul di rumah. Pada mulanya anak-anak itu merasakan si ibu mahu datang melawat mereka tetapi akhirnya mengetahui bahawa roh ibu mereka mahu membawa mereka pergi ke dunianya.

Secara jujurnya, debaran filem ini sudah dialami seawal saat pertama filem ini bermula apabila Joko dengan bijak meletakkan seorang wanita membaca mantera dengan bahasa yang tidak difahami.

Ia sudah cukup mengundang persoalan mengenai siapakah wanita tersebut dan apakah mantera yang di baca.

Kemudian, perjalanan cerita bergerak baik dengan memperkenalkan satu persatu watak, termasuk si ibu yang terbaring lesu memakai jubah putih.

Cara Joko mempotretkan keadaan Mawarni yang hanya terbaring kaku dengan celak di mata, rambut panjang mengurai dan berjubah putih sudah cukup membuatkan penonton memejam mata.

Seterusnya misteri demi misteri dan debaran demi debaran berlaku sehingga ada ketikanya membuatkan penonton sendiri cemas dan 'lemas' dengan apa yang berlaku.

Tentu sekali, ia diselang-selikan dengan jeritan dek kerana terkejut dan ketakutan.

Persembahan pelakon utama, seperti Tara Basro, Bront Palarae, Endy Arfian, Ayu Laksmi, pelakon veteran; Elly D. Luthan dan dua pelakon cilik, Nasar Annuz serta M Adhiyat dilihat cukup cemerlang.

Tanpa aksi berlebihan, mereka berjaya mengemudi jalan cerita dengan baik sekali.

Namun kelemahan filem ini hanya bermula di klimaksnya melibatkan babak hantu bangkit dari kubur, yang penulis lihat jika diperbaiki, boleh mengekalkan mood seram filem ini.

Bagaimanapun secara keseluruhan, ia masih sebuah filem yang berbaloi untuk ditonton dan nasihat penulis, bawalah teman untuk menonton filem ini bersama anda.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.