Berita Terkini
recent

Dadah: Pelakon lelaki, dua rakan kena tahan

Polis menahan seorang pelakon lelaki berusia 25 tahun bersama dua lagi rakannya kerana disyaki memiliki ganja seberat 5.97 gram yang disembunyikan di dalam keretanya di Jalan Bukit Setiawangsa, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Wangsa Maju telah menahan kereta jenis Honda Jazz milik pelakon terbabit di sebuah stesen minyak, di sini.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu bekas tin aluminium yang di dalamnya terdapat satu paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat dan leraian daun-daun kering disyaki ganja bersama alat menghisap ganja yang disembunyikan di bawah kerusi pemandu.

"Pelakon itu bersama dua rakannya yang berusia 20 dan 24 tahun ditahan dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mazlan berkata ketiga-tiga individu yang ditahan didapati tiada rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen  37A(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.