Berita Terkini
recent

Cikgu suruh pelajar buat kerja sendiri

Cikgu suruh buat kerja sendiri, tak belajar dan hanya main bersama rakan-rakan dalam kelas menjadi punca sebahagian besar pelajar tidak ke sekolah pada hari-hari terakhir sebelum menjelang cuti sekolah akhir tahun.

Seorang murid tahun lima yang hanya mahu dikenali sebagai Haniff berkata, dia kini berselang-seli pergi sekolah kerana tidak tahu apa yang boleh dilakukan hinggalah sesi sekolah tamat.

Dia yang tinggal bersama neneknya hanya menjaga adik di rumah dan sudah dua hari tidak ke sekolah sejak minggu lalu.

“Buat apa nak ke sekolah, bukan ada buat apa pun. Dahlah tak belajar, cikgu pun tak marah kalau ponteng. Tapi saya akan pergi juga sekolah, mungkin dalam tiga hari terakhir takut kalau ada apa-apa cikgu nak maklumkan.

“Kalau di sekolah ada aktiviti sukan, seronok juga. Ini tak ada apa-apa pun nak dibuat,” katanya ketika ditemui berjalan bersama rakannya di kawasan kedai di sini.

Seorang lagi murid tahun lima hanya mahu dikenali sebagai Azli berkata, jika ada aktiviti atau program makan-makan barulah dia mahu ke sekolahnya terletak di Puchong, di sini.

“Bukan saya tak mahu pergi sekolah, memang tak ada buat apa pun. Hari-hari buat kerja sendiri di sekolah pun bosan juga. Bukan boleh pergi padang pun, kena duduk dalam kelas saja buat kami jemu dan bosan.

“Kalau duduk di rumah boleh juga berjalan pergi kedai dan main di padang,” katanya.

Tinjauan terhadap seorang murid tahun enam yang hanya mahu dikenali sebagai Intan berkata, ada guru yang masuk ke kelas, namun murid disuruh membuat kerja sendiri.

“Cikgu masuk kelas suruh keluarkan buku dan baca sendiri tanpa mengajar apa-apa. Manalah kami nak baca, lagipun Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dah habis, buat apa baca buku sekolah rendah lagi.

“Takkanlah kami nak bawa buku teks tingkatan satu pergi sekolah, belum masanya lagi,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.