Berita Terkini
recent

Cetus pelbagai spekulasi

Banyak isu panas dan menarik sepanjang minggu lalu. Ketika tular video Mas Idayu memarahi Baby Shima, timbul pula khabar angin mengenai pernikahan rahsia pasangan Fattah Amin, 27, dan Nur Fazura, 34.

Fattah dan Fazura memilih untuk mengunci mulut dan berteka-teki mengenai hari bahagia mereka bermula dengan khabar angin pertunangan pada 13 November diikuti pernikahan rahsia mereka.

Bukan sesuatu yang baru artis menafikan bercinta atau bakal berkahwin. Bermati-matian menafi hingga bersumpah bagai, akhirnya terbongkar juga rahsia mereka.

Begitu juga dengan pasangan ini. Mereka mula rapat Mei lalu apabila digandingkan dalam drama Hero Seorang Cinderella dan percintaan mereka dikatakan berterusan di luar lokasi.

September lalu, bunga-bunga cinta mereka bermula apabila Fazura hadiahkan 50 ros buat Fattah sempena ulang tahunnya kemudian dibalas Fattah 500 kuntum ros pada hari ulang tahun Fazura.

Selain tarikh pertunangan, pasangan ini dikatakan merancang bernikah di Makkah tetapi Selasa lalu, khabar angin mengatakan saat akhir mereka membuat keputusan bernikah di rumah nenek Fazura di Petaling Jaya.



Bagaimanapun, wartawan Harian Metro yang berada di lokasi tidak mendapat kerjasama daripada Fazura dan Fattah. Kawalan cukup ketat, tetamu yang tidak diundang tidak dibenarkan masuk dan hanya menyaksikan daripada jauh.

Melihat khemah di luar rumah dan kehadiran tetamu, seperti menghadiri majlis pernikahan.

Tambah menguatkan lagi khabar angin itu apabila Fattah turut ada di situ bersama pengurusnya, begitu juga keluarga kedua-dua belah pihak.

Menunggu daripada luar dari jam 8 malam belum mendapat apa-apa maklumat sampai jam 1 pagi kerana tiada seorang pun tetamu yang pulang.

Kalau tiada majlis pernikahan dan hanya sekadar kenduri doa selamat sempena pemergian mereka ke Makkah, mengapa sampai begitu sekali merahsiakannya? Sudah tentu ada sebab mengapa mereka berbuat demikian.

Apakah sebabnya? Itulah yang terus menjadi persoalan. Apabila terlalu berahsia, mulalah timbul pelbagai spekulasi.

Apa pun, kita tunggu saja 23 November ini apabila pasangan ini pulang dari umrah. Mereka berjanji akan menjelaskannya dalam satu sidang media dan mahu berlaku adil kepada semua media.

Perlukah memalukan Baby Shima?

Jika di stesen televisyen kita, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang yang menggelarkan dirinya Bunda melontarkan kata-kata semangat dan kritikan membina kepada peserta Gegar Vaganda musim keempat (GV4).

Tapi di stesen TV di seberang, penyanyi dangdut Mas Idayu pula bertindak keterlaluan terhadap peserta D’Academy Asia musim ketiga (DAA3), Baby Shima.

Video Mas Idayu memarahi Baby Shima hingga menangis, tular di media sosial. Ramai bersimpati melihat airmata Baby Shima di pentas DAA3.

Baby Shima atau Nor Ashima Ramli peserta dari Malaysia yang menyertai pertandingan itu bersama One Forteen.

Mas Idayu pula sebagai komentator dari Malaysia, manakala Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah dan Zul 2 By 2 sebagai juri.

Bagi yang menyaksikan video itu, tentu terkejut melihat reaksi Mas Idayu yang disifatkan gagal mengawal emosi.

Wajarkah tindakan Mas Idayu memarahi Baby Shima di depan khalayak yang turut disaksikan jutaan penonton?

Memang sangat keterlaluan hingga timbul persoalan apakah motif sebenar tindakan Mas Idayu? Kalau mahu membimbing peserta negara sendiri, apakah dengan memalukan mereka barulah lebih bersemangat?

Mungkin apa yang dilakukan Mas Idayu sekadar untuk menarik perhatian umum dan dia berjaya kerana bukan hanya di Indonesia, malah orang di Malaysia dan Singapura memperkatakan mengenai tindakannya.

Walaupun Mas Idayu mengatakan ia bukan lakonan, itulah hakikat sebenar kerana ia memang sering berlaku dalam program realiti. Makin hebat drama ditampilkan, makin berjaya program itu.

Ini juga tahun ketiga DAA bersiaran dan tahun ini mendapat perhatian apabila viral di media sosial. Shiha Zikir menyertai pertandingan ini pada 2015 dan tahun lalu penyanyi Elda Susanti. Mungkin ia belum cukup hebat.

Elda ketika dihubungi Jumaat lalu, akui memang begitu konsep DAA. Katanya, ia satu pertandingan di pentas sangat besar dan sangat serius.

“Memang saya juga bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Baby Shima. Saya juga berhadapan kritikan pedas hingga menangis di pentas, tapi bukan daripada Mas Idayu.

“Memang semua komentator begitu, jadi bersedialah. Peserta perlu memiliki vokal yang kuat dan jiwa yang kental.

“Mereka bukan saja diminta menyanyi tapi perlu ada kreativiti dalam setiap persembahan,” katanya.

Nasihat Elda buat Baby Shima, ambillah ruang ini sebaik mungkin untuk belajar terutama vokal.

Katanya, masih banyak masa untuknya menjadi penyanyi yang bagus dan versatile.

“Berusahalah mencari guru dan jangan putus asa. Anggap saja setiap teguran itu sebagai ilmu baru kerana setiap penyanyi akan sentiasa belajar dan belajar daripada pengalaman,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.