Berita Terkini
recent

Ceria I-Star 2017 cungkil bakat kanak-kanak

TAMPIL berbeza melayakkan Syifa menjuarai program realiti kanak-kanak, Ceria I-Star 2017, kelmarin.

Kanak-kanak cilik berusia lapan tahun itu mempamerkan bakatnya menerusi kebolehannya bercerita dalam bahasa Inggeris.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan peserta dari Jakarta, Indonesia ini membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta trofi.

Naib juara pula dimenangi peserta dari Johor, Puteri Siti Mahirah yang mempersembahkan bakatnya bertaranum dan berseloka sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.

Ayeen dan Hazury pula hanya mampu berpuas hati di tempat ketiga dan keempat. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan RM1,000 berserta trofi.

Bagaimanapun, Ayeen dianugerahkan Bintang Pilihan Caliph yang melayakkannya memenangi hadiah wang tunai RM12,000, trofi serta dilantik sebagai duta Caliph selama setahun.


Semua peserta ini dinilai dua juri tetap, Ustaz Amin Idris dan Imam Muda Asyraf selain aktres popular, Laudya Cynthia Bella yang bertindak sebagai juri Nusantara.

Selain guna khidmat juri profesional, setiap peserta turut dinilai melalui 50 peratus undian penonton menerusi SMS.

Juri tetap, Ustaz Amin berkata, program Ceria I-Star adalah program alternatif buat kanak-kanak menonjolkan bakat terpendam.

“Sekarang,  ramai yang merungut terlalu banyak program hiburan dan ia tak sesuai untuk kanak-kanak.

“Jadi, inilah program yang membantu memberi semangat buat anak-anak cabar kebolehan,” katanya.

Perkara itu turut dipersetujui juri Nusantara, Laudya Cynthia Bella.

“Ini adalah pengalaman pertama saya menjadi juri bagi program seperti ini. Terus-terang, walaupun dah dewasa, saya dapat pelbagai pengajaran daripada program ini.

“Lagipun, kanak-kanak biasanya sangat kreatif dan jiwa mereka juga bersih,” katanya.

Penolong Naib Presiden Perniagaan Gen Next Astro, Mohd Irwan Abd Rauf berkata, Ceria I-Star 2017 buka peluang kepada peserta mempersembahkan bakat dan aksi.

“Program ini mengangkat mesej Islam dalam cara paling menarik dan santai khususnya bagi menarik minat anak di rumah untuk lebih mendalami konsep agama Islam yang mudah dan indah.

“Setiap peserta dibenarkan berpidato, berlawak, bersketsa, berseloka, bercerita, bertaranum, berceramah, pengucapan awam, bermain alat muzik dan lain-lain mengikut kreativiti masing-masing,” katanya.

Ceria I-Star 2017 dihoskan dua pelawak popular, Nabil Ahmad dan Dzawin serta PU Yeop, selain diserikan dengan persembahan  penyanyi popular, Harris J. Pentas akhir program realiti bersiaran secara langsung di Studio 1, Visual Three Studio, Seri Kembangan, kelmarin.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.